'Lebih baik selongkar sampah daripada minta sedekah'

Kebanyakan pengumpul barang terbuang yang ditemui di sekitar Kuala Lumpur mengakui lebih rela menyelongkar tong sampah daripada meminta sedekah.
Kebanyakan pengumpul barang terbuang yang ditemui di sekitar Kuala Lumpur mengakui lebih rela menyelongkar tong sampah daripada meminta sedekah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih baik selongkar tong sampah mencari barang terbuang daripada meminta sedekah dan mengharap ihsan orang ramai untuk meneruskan hidup. Begitulah pengakuan seorang wanita warga emas yang ditemui sedang mengutip sampah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Barangan terbuang seperti plastik, kertas, tin minuman dan besi buruk yang dikutip dari tong sampah menjadi sumber rezeki kepada wanita berusia lewat 60-an itu untuk meneruskan kehidupannya.

Warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai 'Ibu' itu juga tidak malu untuk menyelongkar tong sampah bagi mencari bahan buangan yang boleh dijual kerana menganggap ia lebih baik daripada mengharap belas ihsan orang lain.

“Setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang Ibu keluar mencari botol plastik, kertas, tin minuman dan besi buruk serta apa saja barangan lain di dalam tong sampah sekitar Chow Kit.

“Ibu tidak malu melakukan pekerjaan ini kerana ini saja kerja yang mampu Ibu buat. Semua barang yang dikutip ini kemudian dijual di pusat kitar semula sekitar Kuala Lumpur.

“Setiap hari 'Ibu' dapat RM10 hingga RM20 dan duit ini Ibu guna untuk membeli makanan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian berhampiran Hospital Kuala Lumpur pada Khamis.

Kehadiran orang ramai di pusat bandaraya Kuala Lumpur kini mengubah hidup An Chai dan rakan-rakannya.
Kehadiran orang ramai di pusat bandaraya Kuala Lumpur kini mengubah hidup An Chai dan rakan-rakannya.

Sementara itu, seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chai, 40-an, berkata, kehadiran orang ramai di pusat bandar raya itu kini mengubah hidupnya dan rakan-rakan lain.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendapatan mereka dengan menjual barangan terbuang seperti plastik, kertas, tin minuman dan besi buruk semakin baik berbanding sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lebih baik cari barang (kitar semula) dalam tong sampah daripada minta wang orang, kalau hari-hari minta wang siapa hendak beri, sebab itu lebih baik cari sendiri," katanya yang ditemui di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tambah pemuda yang mendakwa tidak mempunyai keluarga itu, walaupun pendapatan sehari sekitar RM20 sahaja namun ia sudah cukup untuknya membeli makanan bagi mengisi perut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!