Taman Eko Rimba Ulu Bendul selamat dikunjungi

Taman Eko Rimba Ulu Bendul selamat dikunjungi tetapi pengunjung masih perlu menjaga prosedur standard operasi (SOP). - Foto internet
Taman Eko Rimba Ulu Bendul selamat dikunjungi tetapi pengunjung masih perlu menjaga prosedur standard operasi (SOP). - Foto internet
A
A
A

KUALA PILAH - Kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul selamat dikunjungi tetapi pengunjung masih perlu menjaga prosedur standard operasi (SOP) dalam mencegah jangkitan penyakit seperti pandemik Covid-19 dan kencing tikus.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, orang ramai juga diingatkan supaya menjaga kebersihan di kawasan tersebut yang dibuka kepada pengunjung pada Isnin lalu selepas ditutup selama tiga hari bermula Jumaat.

"MDKP menambah 70 tong sampah di lokasi tersebut dan diharap pengunjung menggunakannya dengan baik.

"Pihak MDKP juga akan memantau kawasan terbabit dari masa ke semasa untuk memastikan lokasi berkenaan sentiasa selamat dan boleh dikunjungi oleh orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, kolam mandi di bawah pentadbiran MDKP ditutup sementara bermula dari 24 hingga 26 September lalu bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dilakukan susulan dipercayai terdapat 13 kes jangkitan penyakit melibatkan pengunjung ke kawasan rekreasi Taman Eko Rimba Ulu Bendul dengan masing-masing dikatakan mempunyai sejarah pergerakan ke lokasi berkenaan sebelum ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, Pejabat Kesihatan Kuala Pilah sudah mengambil sampel di kawasan berkenaan.

"Keputusan tersebut belum diperoleh manakala 13 individu yang sebelum ini dimasukkan ke beberapa hospital berasingan di Negeri Sembilan selepas mengalami gejala demam, muntah dan cirit birit telah pulih serta dibenarkan discaj wad pada Isnin lepas," katanya.

Artikel Berkaitan: