Slovenia gantung guna vaksin J&J

Slovenia bertindak menggantung penggunaan vaksin J&J sehingga siasatan kematian seorang wanita muda yang dikaitkan dengannya selesai dilakukan. - Foto AFP
Slovenia bertindak menggantung penggunaan vaksin J&J sehingga siasatan kematian seorang wanita muda yang dikaitkan dengannya selesai dilakukan. - Foto AFP
A
A
A

LJUBLJANA - Slovenia pada Rabu bertindak menggantung penggunaan vaksin Johnson & Johnson (J&J) selepas seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia akibat pendarahan otak dan darah beku.

Wanita itu meninggal dunia setelah beberapa hari dia menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran syarikat J&J.

Dia juga meninggal dunia selepas pihak berkuasa memberitahu kakitangan-kakitangan awam perlu divaksinkan sebelum berakhirnya bulan ini.

Menteri Kesihatan, Janez Poklukar memberitahu, bahawa pihaknya telah menggantung penggunaan vaksin itu sehingga mendapat maklumat jelas tentang punca kematian wanita tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, penggantungan itu dilaksanakan sehingga pakar-pakar menentukan jika terdapat kaitan vaksin tersebut dengan kematian wanita berkenaan.

Katanya, suntikan vaksin itu diterimanya dua minggu lalu.

Dalam pada itu, J&J masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Media melaporkan wanita itu dimasukkan ke sebuah hospital pada Isnin lalu ekoran masalah kesihatan iaitu selepas dia menerima suntikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu kemudian meninggal dunia.

Sebelum ini terdapat satu kes kematian yang dikaitkan dengan penggunaan vaksin J&J itu di Slovenia.

Setakat ini lebih 120,000 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara itu.

Kira-kira 47 peratus daripada dua juta penduduk negara itu telah menerima dua suntikan vaksin Covid-19 iaitu kadar yang paling rendah dalam kalangan anggota-anggota Kesatuan Eropah (EU). - Agensi