PICK: RM314 juta dibelanjakan setakat 30 Ogos

Dr Adham
Dr Adham
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Kerajaan telah membelanjakan RM314.05 juta untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 30 Ogos lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM1 bilion yang disediakan untuk program berkenaan.

Menurutnya, perbelanjaan tersebut meliputi kos pengoperasian pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu perbelanjaan bagi sewaan dan utiliti, perbelanjaan bagi pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan peralatan pakai habis dan perbelanjaan kebajikan petugas di PPV.

“Kos perbelanjaan juga digunakan untuk memantapkan rangkaian integrasi data dan sistem untuk proses pemberian vaksin melalui PICK.

“Selain itu, perbelanjaan digunakan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran rakyat untuk menerima vaksin di setiap kawasan Parlimen.

“Kerajaan juga telah menyalurkan sebanyak RM4.4 juta peruntukan untuk itu yang mana selaras dengan prinsip 'whole of society' untuk menjayakan program PICK, katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang bertanya perincian mengenai kos program vaksinasi yang telah dijalankan dan mahu tahu apakah strategi seterusnya Kerajaan selain program vaksinasi dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi berkaitan sedang mengambil langkah untuk penambahbaikan sistem pengesanan kontak yang merangkumi empat langkah dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia merangkumi sumber data untuk mengenalpasti dan menganalisa interaksi; analisis untuk menentukan butiran risiko penyebaran wabak; pusat pengesanan untuk memudahkan pengesanan kontak; dan aktiviti sokongan untuk mengukuhkan pengesanan kontak.

“Seterusnya, MOSTI juga telah membangunkan Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) bagi penyimpanan rekod data vaksinasi melalui teknologi blockchain yang dapat menjana sijil vaksinasi bagi setiap penerima vaksin.

“MOSTI juga menghasilkan aplikasi Pengesah Sijil Vaksin (VCV) untuk memastikan setiap sijil digital vaksin adalah tulen melalui Kod QR,” katanya.