Kelantan waspada berdepan 'ramuan' Kim Swee

Rezal Zambery. - Foto TRW Kelantan FC
Rezal Zambery. - Foto TRW Kelantan FC
A
A
A

BARISAN pemain Kelantan FC diingatkan supaya berhati-hati apabila turun berdepan Sabah FC pada aksi kedua Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini petang Khamis.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, pasukan lawan yang baru mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad B-23 kebangsaan Datuk Ong Kim Swee sudah pasti akan tampil dengan corak permainan berbeza.

"Sudah pasti beliau (Kim Swee) mempunyai ramuan baharu dan gaya permainan berbeza daripada sebelum ini. Malah, Sabah FC pastinya akan membariskan skuad terkuat dan kita perlu berwaspada dengan corak permainan mereka,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Rezal Zambery mengingatkan anak buahnya supaya tidak melakukan kesilapan sama ketika tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama peringkat kumpulan, Ahad lepas.

"Bertemu Sabah FC, kita juga perlu berhati-hati, tambahan pula kita perlu melakukan sedikit rombakan kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan ketika aksi menentang JDT,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan ke atas Sabah FC penting dalam usaha mereka mara ke peringkat suku akhir.

“Beraksi di tempat sendiri, kita perlu mengutip tiga mata penuh sekali gus dapat meningkatkan motivasi pemain selepas tewas kepada JDT sebelum ini,” katanya.

Juara Liga Super, JDT kini mendahului Kumpulan D selepas mengutip tiga mata, manakala PJ City FC dan Sabah FC yang masing-masing mengumpul satu mata berada di kedudukan kedua dan ketiga, sementara Kelantan FC di tempat tercorot.- Bernama

Artikel Berkaitan: