Hakim Danish perlu awasi Perrone di Portimao

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli perlu berwaspada dalam baki dua pusingan terakhir Kejuaraan Dunia Moto3 2026 bagi memastikan kedudukannya dalam kelompok lapan terbaik keseluruhan tidak dirampas pencabar terdekat, Valentin Perrone.
Hakim Danish yang mengumpul 125 mata ketika ini hanya memiliki kelebihan empat mata berbanding pelumba Red Bull KTM Tech3 dari Argentina itu yang menghuni tangga kesembilan, sekali gus menjadikan perebutan kelompok lapan terbaik semakin sengit.
Situasi itu meletakkan Grand Prix (GP) Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao hujung minggu ini sebagai medan penting buat pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi berkenaan untuk mengukuhkan kedudukannya sebelum saingan musim ini melabuhkan tirai di GP Valencia.
Hakim Danish yang mengutip sembilan mata menerusi penamat tempat ketujuh pada GP Qatar di Lusail, 8 November lalu mahu memanfaatkan pengalamannya beraksi di Portimao bagi memberikan saingan lebih baik.
“Pengalaman beraksi di Portimao tahun lalu memberi saya gambaran mengenai aspek yang perlu diperbaiki.
“Dengan dua pusingan berbaki, saya mahu memberikan aksi terbaik dan mengekalkan pendekatan sama seperti perlumbaan sebelum ini,” katanya.
Dalam masa sama, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu turut berpeluang memperbaiki kedudukan apabila hanya ketinggalan 16 mata di belakang Marco Morelli yang menghuni tangga ketujuh dengan 141 mata.
Kedudukan itu menyaksikan Hakim Danish masih berpeluang menembusi kelompok tujuh terbaik sekiranya mampu mengutip mata maksimum dalam dua perlumbaan terakhir, dengan 50 mata keseluruhan masih ditawarkan.
Sementara itu, Maximo Quiles terus menguasai carta keseluruhan dengan 392 mata, diikuti David Almansa (253) dan Alvaro Carpe (216), manakala Veda Pratama berada di tangga keenam dengan 144 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
