Pengorbanan ibu bapa nadi kejayaan PSKK

DI sebalik kejayaan menjulang trofi, pengorbanan ibu bapa dan kegigihan jurulatih menjadi tunjang kekuatan Pasukan Projek Soccer Kerayong Kapar (PSKK) dalam melahirkan bakat muda bola sepak meskipun berdepan kekangan kewangan dan ketiadaan penaja tetap.
Ditubuhkan pada Januari 2022, kelab pembangunan akar umbi dari Bukit Kapar, Klang itu membuktikan keterbatasan sumber bukan penghalang kejayaan apabila skuad bawah lapan tahun (B8) muncul juara Karnival Bola Sepak Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) 2026 selepas menewaskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 5-2 dalam perlawanan akhir baru-baru ini.
Sementara itu, pasukan bawah 12 tahun (B12) turut menyerlah sebelum dijinakkan 4-6 oleh Mithraa FC menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat tanpa jaringan pada masa penuh dalam perlawanan akhir.

Satu lagi pasukan pembangunan PSKK, iaitu skuad B10, turut menyerlah sebelum kemaraan mereka disekat AAB FC selepas tewas 0-1 pada peringkat suku akhir.
Kejayaan di Eco Ardence Football Arena, Setia Alam itu cukup bermakna buat PSKK yang bergantung pada sokongan kewangan ibu bapa bagi menampung kos latihan, penyertaan kejohanan dan keperluan pemain.
Pengurus merangkap Ketua Jurulatih PSKK, Mohamad Tarmidzi Ahmad berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen luar biasa ibu bapa yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan anak-anak mendapat peluang mengembangkan bakat.
“Dalam kelab pembangunan seperti kami, peranan ibu bapa sangat penting. Sumbangan dan sokongan mereka tidak boleh disangkal lagi.
“Kami tidak mempunyai penaja. Sumbangan ibu bapalah yang membolehkan program pembangunan di kelab ini diteruskan.
“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa berkorban dari segi masa, wang dan pengurusan logistik setiap kali anak-anak menyertai perlawanan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tanpa sumber kewangan tetap, ibu bapa bukan sahaja menanggung kos penyertaan kejohanan, pengangkutan serta makan minum, malah menjadi penggerak utama kelangsungan program pembangunan kelab.

Katanya, kekangan dana turut memberikan cabaran kepada barisan kejurulatihan, khususnya dalam menyediakan peralatan latihan yang mencukupi dan menampung pembayaran elaun jurulatih.
“Keadaan itu menyebabkan tenaga kejurulatihan perlu mengendalikan beberapa kumpulan umur dalam satu sesi latihan bagi memastikan semua pemain terus menerima bimbingan.
“Ada ketikanya peralatan latihan tidak mencukupi kerana kami tidak menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.
“Untuk menampung elaun jurulatih pula, kami terpaksa mengendalikan lebih daripada satu kumpulan umur dalam setiap sesi latihan,” jelasnya.
Kejuaraan keempat dalam setahun
Di sebalik cabaran tersebut, Mohamad Tarmidzi berkata, PSKK tetap mengutamakan pembangunan jangka panjang pemain berbanding memburu kejuaraan semata-mata.
Menurutnya, penyertaan dalam Karnival Bola Sepak PNSB 2026 bertujuan memberikan pendedahan kepada pemain cilik untuk merasai suasana pertandingan berskala besar, selain mengukur perkembangan prestasi mereka.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan prestasi yang konsisten dalam kalangan skuad B8 sejak kebelakangan ini memberikan keyakinan kepada barisan kejurulatihan untuk menyasarkan gelaran juara.

“Sasaran utama kami adalah untuk memberikan pendedahan kepada semua pelatih PSKK untuk beraksi dalam kejohanan besar seperti anjuran PNSB ini.
“Pada masa sama, kami memang menjangkakan pasukan B8 mampu muncul juara berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan sejak kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, kejayaan ini merupakan kejuaraan keempat pasukan B8 sepanjang tahun ini,” katanya.
Tambahnya, prestasi memberangsangkan turut dipamerkan skuad B12 yang semakin konsisten mara ke perlawanan akhir, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif hasil program latihan kelab.
“Pasukan B12 juga menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dan semakin kerap beraksi di pentas final.
“Alhamdulillah, ini menunjukkan proses pembangunan pemain yang kami laksanakan berjalan dengan baik,” ujarnya.
Buka laluan ke sekolah sukan
Mohamad Tarmidzi berkata, lebih penting daripada kejayaan di padang, usaha pembangunan bakat PSKK turut membuka laluan kepada pemain muda untuk melangkah ke institusi latihan sukan yang lebih tinggi.
Menurutnya, beberapa pemain B12 kini menjalani proses pemilihan dan percubaan bagi mendapatkan tempat di sekolah sukan peringkat daerah serta negeri.

Katanya, perkembangan itu menyusuli kejayaan enam pelatih PSKK yang sebelum ini berjaya menempatkan diri di institusi pembangunan sukan termasuk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
“Sebelum ini, PSKK sudah berjaya melahirkan dua pelatih yang memasuki sekolah sukan daerah, tiga pelatih ke sekolah sukan negeri dan seorang lagi ke AMD.
“Pencapaian ini secara tidak langsung menjadi bukti keberkesanan usaha pembangunan akar umbi PSKK dan menyuntik semangat kepada barisan kejurulatihan untuk terus menggilap potensi pemain meskipun beroperasi dengan sumber terhad,” katanya.
Pengorbanan menyatukan komuniti
Dalam mengejar matlamat tersebut, Mohamad Tarmidzi menyifatkan hubungan erat antara ibu bapa, pemain dan pengurusan kelab sebagai kekuatan terbesar PSKK.
Katanya, kesanggupan semua pihak berkongsi tanggungjawab bukan sahaja membantu kelab mengharungi cabaran kewangan, malah membentuk semangat kekeluargaan yang menjadi asas kepada kejayaan pasukan.
“Kejayaan ini sangat bererti kerana pihak kelab dan ibu bapa sama-sama menggembleng tenaga untuk mencapainya.
“Hubungan erat juga dapat diwujudkan di sebalik perjuangan bersama memburu kecemerlangan,” katanya.
Berpegang pada moto Zero to Hero, katanya, PSKK bertekad meneruskan usaha melahirkan bakat bola sepak muda dengan memberikan keutamaan kepada pembangunan kemahiran, pembentukan sahsiah dan peluang pemain melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Nilai sebenar kejayaan PSKK bukan sekadar jumlah trofi yang dimenangi, tetapi masa depan yang mampu dibina menerusi pengorbanan bersama,” katanya.
Bina tamadun, bangun insan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, penganjuran program pembangunan sukan seperti Karnival Bola Sepak PNSB 2026 selari dengan kepentingan membina masyarakat yang sihat, harmoni dan berdaya saing.

Ketika merasmikan kejohanan tersebut, beliau menegaskan bahawa kejayaan hakiki sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian fizikal atau angka komersial semata-mata.
Sebaliknya, menurutnya, ukuran kejayaan turut terletak pada keupayaan organisasi menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
INFO
PENCAPAIAN SKUAD PSKK 2026
SKUAD B8
- Juara Liga OFL Shah Alam
- Juara Mega Empire Football Hub
- Juara Piala Port Dickson Majlis Perbandaran Port Dickson
- Juara Piala PNSB
- N.Juara Piala Lekir (Melaka)
SKUAD B10
- Juara Piala Kidas Saujana Utama
- Juara footballhub puchong
SKUAD B12
- Juara Piala Lekir (Melaka)
- Naib juara Piala PNSB
- Naib juara Piala Kuala Selangor
- Naib juara Piala BKFC
- Naib juara Piala Asian Vision
SKUAD B14
- Juara Liga ISMA
- Juara Mega Empire Football Hub
- Juara KSL Football Hub
- Juara Asian Vision
SKUAD B16
- Juara Liga ISMA
- Juara Footbal Hub Desa Coafield
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
