Lebih 20 tahun jaja tepi jalan, kini dapat niaga dalam premis

Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D'laman Rasa di Kuala Lumpur dijangka mula beroperasi Oktober ini. Gambar kecil dari kiri: Sukarty, Tarani
Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D'laman Rasa di Kuala Lumpur dijangka mula beroperasi Oktober ini. Gambar kecil dari kiri: Sukarty, Tarani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas lebih 20 tahun berniaga di tepi jalan, golongan peniaga lega apabila diberikan peluang mengusahakan perniagaan mereka dalam premis di Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D'laman Rasa di sini.

Peniaga, Tarani Bascar, 24, berkata, dia gembira apabila ibunya ditawarkan berniaga di pusat penjaja itu dengan kemudahan selesa tanpa perlu lagi risau cuaca panas dan hujan.

Dia yang membantu ibunya berniaga makanan tradisional India sebelum ini berdepan kekurangan pelanggan apabila cuaca hujan disebabkan beroperasi di bawah khemah.

"Setiap kali hujan, pelanggan tak ada. Selain itu, selepas berniaga, kami kena bersihkan tempat dan semua barangan perlu dibawa pula ke rumah.

"Apabila diberikan beroperasi dalam satu tempat ini, kami gembira dan tiada lagi masalah berebut meja. Pelanggan juga boleh memilih macam-macam makanan di sini," katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan kunci dan lesen perniagaan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim di sini pada Rabu.

Shahidan (dua dari kanan) beramah mesra dengan penjaja pada sesi penyerahan kunci dan lesen perniagaan di Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D'laman Rasa, Kuala Lumpur pada Rabu.
Shahidan (dua dari kanan) beramah mesra dengan penjaja pada sesi penyerahan kunci dan lesen perniagaan di Pusat Penjaja Pekan Sungai Besi @ D'laman Rasa, Kuala Lumpur pada Rabu.

Seorang lagi peniaga, Sukarty Ahmad, 50, berkata, penyerahan kunci yang berlangsung itu melegakan penjaja yang menantikan projek itu siap sejak tahun 2016.

"Alhamdulillah, diberikan tempat. Selepas 20 tahun, barulah dapat rasa berniaga dalam gerai. Sebelum ini hanya berniaga di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan kemudahan ini dapat merancakkan perniagaan penjaja dan menambah hasil jualan kami," katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata, sejumlah 64 penjaja ditempatkan di pusat penjaja itu dengan kemudahan 'kitchen hood', tandas, surau rumah sampah serta tempat letak kereta.

Beliau berkata, projek dimulakan pada tahun 2016 itu siap pada tahun ini dan dijangka beroperasi pada Oktober ini.

"Pusat penjaja ini menempatkan semula penjaja tepi jalan di sekitar Pekan Sungai Besi dan mereka yang berniaga di hadapan Pasaraya Hari-Hari.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan kadar sewa kepada penjaja sebanyak RM240 hingga RM300 sebulan.

"DBKL juga memberikan pengecualian bayaran sewa hingga Disember ini serta pengurangan bayaran fi lesen sebanyak 50 peratus kepada penyewa premis berkenaan," katanya.

Tambah beliau, diharapkan lokasi baharu tersebut dapat memberikan keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penjaja supaya sentiasa mematuhi syarat lesen, menjaga kebersihan serta memelihara harta benda premis.