KWSP disyorkan laksana pembayaran dividen struktur berperingkat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disyorkan mengubah pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada struktur berperingkat atau 'multi-tier dividend structure'.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, menerusi kaedah itu pencarum yang memiliki baki simpanan yang lebih rendah akan menerima dividen yang lebih tinggi, supaya pembahagian keuntungan akan lebih memihak kepada mereka yang mempunyai baki simpanan rendah.

"Kaedah bayaran dividen secara 'multi-tier' ini juga patut diperluaskan ke tabung-tabung simpanan yang lain seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Tabung Haji.

"Ia agar matlamat untuk merapatkan jurang pendapatan seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaydia Ke-12 (RMK12) tercapai," katanya dalam perbahasan pembentangan RMK12 di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan juga boleh melakukan beberapa cara untuk untuk membantu KWSP meraih pendapatan.

"Dalam pasca Covid-19, kerajaan juga boleh membantu KWSP dengan memberi projek lebih lumayan kepada KWSP.

"Contohnya, sebelum ini projek KWASA Land atas tanah Lembaga Getah Malaysia dan projek Battersea di United Kingdom serta pemilikan 49 peratus di dalam syarikat PLUS. Bukan diberikan kepada kroni," katanya.

Ujarnya, kerajaan juga boleh menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain daripada pendapatan aktif dan pasif, kerajaan juga perlu memberi perhatian bagaimana untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

"Jika pendapatan meningkat tetapi kos sara hidup turut sama meningkat, ia menjadikan usaha kerajaan ini tidak bermakna," katanya.

Justeru, Najib memberitahu, program-program yang digemari rakyat umpamanya Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan lain-lain perlu diperkenalkan semula.

Kesemua inisiatif itu juga katanya, perlu ditambahbaik dengan melanjutkan waktu operasi dan diperluaskan.

"Kalau nak dijenamakan semula pun boleh. Sebagai contoh Klinik 1Malaysia boleh diperkenalkan sebagai Klinik Keluarga Malaysia," katanya.