‘Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa’

Ahmad Marzuk
Ahmad Marzuk
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyerahkan sepenuh keputusan kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya berhubung dakwaan melanggar peraturan jalan raya.

Menurutnya, beliau amat menghargai teguran dan nasihat yang diberikan sama ada secara terus kepadanya atau melalui komen di media sosial.

“Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikannya sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan.

“Insiden tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Staf yang terlibat juga telah dipanggil memberikan keterangan beliau.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan polis membuka siasatan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard milik seorang timbalan menteri susulan rakaman video yang tular di media sosial mendakwa beliau melanggar peraturan jalan raya di Jalan Bukit Marak, Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Superintendan Suhaimi Jusoh berkata, rakaman video yang tular itu memaparkan kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di hadapan di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan lain di atas jalan tersebut dari arah bertentangan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Marzuk, sekiranya dikenakan hukuman, beliau berharap ia menjadi asbab kebaikan dan penambahbaikan buat mereka.

“Biarlah hukuman itu di atas dunia, andai dengan sebab itu, ia melepaskan kami dari hukuman di akhirat.

“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul. Semoga peristiwa ini memberi peluang untuk kami terus menjalankan tugas dengan penuh jujur dan berintegriti demi rakyat Malaysia,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Polis siasat Alphard VIP potong ‘double line’