Sindiket penipuan janji pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam

Gambar kecil: Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga mempertaruhkan wang simpanannya sebanyak RM2,980 dengan harapan memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam menerusi satu skim pelaburan.

Bagaimanapun, peniaga berusia 59 tahun itu akhirnya menyedari dia menjadi mangsa penipuan skim saham digital yang ditawarkan melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada Jumaat lalu apabila mangsa melayari Facebook terbabit di kediamannya di Kampung Batu Talam, Raub dan memperoleh maklumat mengenai syarikat yang menawarkan peluang pelaburan.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon syarikat terbabit menerusi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut mengenai skim pelaburan tersebut sebelum dihubungi seseorang yang bernama 'Rosmawati Darmadi'.

"Puan Rosmawati mendakwa pegawai pelaburan syarikat berkenaan dan memberitahu mangsa berpeluang memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.

"Mangsa teruja apabila wanita itu memaklumkan pelabur akan mendapat RM16,000 jika melabur RM500 di syarikat tersebut.

Dia menyatakan persetujuan untuk menyertai skim pelabur itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa menghantar butiran peribadi dan salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa turut memindahkan sejumlah wang ke dua nombor akaun bank diberikan suspek untuk tujuan pemprosesan.

"Sejak Jumaat lalu hingga Isnin, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas suspek terus meminta mangsa memindahkan wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan itu," ujarnya.

Mohd Wazir berkata, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Raub.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," kata beliau.