KPDNHEP lupus barang rampasan berjumlah lebih RM1.6 juta

Muhamad Zikril Azan (tengah depan) bersama pegawainya melihat pelbagai barang rampasan ketika Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor yang bernilai RM1,643, 430.50 di Seksyen 7 Shah Alam pada Isnin.
Muhamad Zikril Azan (tengah depan) bersama pegawainya melihat pelbagai barang rampasan ketika Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor yang bernilai RM1,643, 430.50 di Seksyen 7 Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melaksanakan pelupusan melibatkan pelbagai barang rampasan termasuk barangan tiruan bernilai lebih RM1.64 juta (RM1,643,430.50) di stor penyimpanan ekshibit Selangor, Pusat Perindustrian Bukit Raja Seksyen 7 pada Isnin.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, program pelupusan tersebut dikategorikan sebagai Program Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP kerana melibatkan nilai pelupusan barang-barang kes yang mencecah jutaan ringgit.

Zikril Azan berkata, barang kes tersebut dikumpul sejak 2019 melibatkan 33 kes rampasan di negeri itu dan pihaknya telah mendapat arahan pihak berkuasa untuk menutup kes berkenaan.

"Kesemua kes yang terbabit telah selesai menjalani proses di mahkamah dan mendapat kebenaran untuk dilupuskan selepas mendapat perintah kebenaran pelupusan dari mahkamah atau pengawal akta yang berkenaan.

“Kesemua barangan yang dilupuskan adalah kes rampasan barangan yang melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cap Dagang 2019," katanya ketika sidang media selepas Program Pelupusan Ekshibit di sini pada Isnin.

"Pihak KPDNHEP Selangor ingin menegaskan kepada mana-mana peniaga di luar sana agar memberi kerjasama yang baik dalam mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Sebarang perlakuan yang melanggar mana-mana peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan khususnya di bawah perlindungan harta intelek serta melibatkan barangan bersubsidi, pihak kami tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: