KPDN Selangor rampas kasut tiruan bernilai RM800,000

KPDN Selangor merampas kasut tiruan dalam serbuan di sebuah stor di Taman Sejati, di sini, pada Isnin.
KPDN Selangor merampas kasut tiruan dalam serbuan di sebuah stor di Taman Sejati, di sini, pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas kasut tiruan bernilai RM800,000 dalam serbuan di sebuah stor rumah kedai di Taman Sejati, di sini pada Isnin.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, sindiket berkenaan menjual kasut tiruan berjenama secara dalam talian sejak setahun lalu.

"Kasut tiruan itu dipercayai diimport dari luar negara dan disimpan di stor yang disewa sindiket berkenaan sebelum menjualnya menerusi media sosial," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan selama sebulan dan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.

"Kita terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis sebelum menemui kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019.

"Seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai penjaga premis berkenaan turut ditahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Tambah Mohd Khairi, kesemua kasut berkenaan dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang di seluruh negara.

"Kita akan menyiasat sama ada sindiket mempunyai rangkaian lain dan memeriksa pemilik yang menyewakan premis tersebut.

"Siasatan lanjut akan dijalankan secara menyeluruh dan semua rampasan dibawa ke Stor Eksibit KPDN Selangor bagi tindakan lanjut," katanya.