FAMA catat jualan RM312.51 juta dari Mei hingga September

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatat hasil jualan bernilai RM312.51 juta menerusi kesemua rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 25 Mei hingga 24 September lalu.

FAMA menerusi kenyataan pada Ahad memaklumkan 54 Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara melibatkan 3,776 usahawan tani telah merekodkan nilai jualan sebanyak RM124.02 juta dalam tempoh tersebut.

“Bagi negeri Johor, nilai jualan berjumlah RM58.6 juta sepanjang tempoh fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan enam buah PST di negeri ini melibatkan 124 usahawan tani telah berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM23.3 juta,” katanya.

Sementara itu, FAMA memaklumkan, sehingga Jumaat lepas, program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin telah memanfaatkan seramai 38,026 orang di 200 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 72.97 metrik tan makanan disalurkan.

Menurut kenyataan itu, di Johor, pelaksanaan program berkenaan menerusi FAMA telah memberikan manfaat kepada 3,480 penerima di 14 buah lokasi, sekali gus membantu 97 usahawan memasarkan 16.3 metrik tan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 34,650.

Katanya, penerima termasuk petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR), penduduk di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), badan kebajikan dan badan bukan kerajaan.

“Hari ini kita juga telah memberikan sumbangan kepada 224 penerima terdiri daripada asnaf dan orang asli di daerah Kota Tinggi, melibatkan dua metrik tan merangkumi sayur-sayuran dan buah- buahan,” menurut kenyataan itu.

FAMA berkata, sebanyak 100 pasar tani telah beroperasi di seluruh negara selaras dengan kelonggaran yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: