Terma, syarat RCI Tabung Haji diumum dalam masa terdekat

Kerajaan sedang mengenal pasti senarai keahlian RCI untuk menyiasat isu-isu berbangkit dalam TH yang bakal melibatkan pakar perundangan termasuk dalam bidang syariah.
Kerajaan sedang mengenal pasti senarai keahlian RCI untuk menyiasat isu-isu berbangkit dalam TH yang bakal melibatkan pakar perundangan termasuk dalam bidang syariah.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan akan mengumumkan terma dan syarat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diwujudkan untuk menyiasat isu-isu yang berbangkit dalam Lembaga Tabung Haji (TH), dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan juga sedang mengenal pasti senarai keahlian RCI, yang bakal melibatkan pakar perundangan termasuk dalam bidang syariah.

“Terma dan syarat itu nanti tidak lari dari tujuan penubuhan RCI untuk menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH dari tahun 2014 hingga 2020.

“Kesemua transaksi yang timbul dan berbangkit sama ada di Parlimen atau media sosial mengenai urusan TH yang perlu pada siasatan akan dirungkaikan menerusi RCI tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Sumbangan Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali di sini pada Ahad. - Bernama

Artikel Berkaitan: