Tindakan tegas terhadap pengunjung gagal patuh SOP

Ab Hamid (empat dari kiri) meninjau premis yang beroperasi di Pantai Bagan Lalang, pada Sabtu.
Ab Hamid (empat dari kiri) meninjau premis yang beroperasi di Pantai Bagan Lalang, pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - Tindakan lebih tegas akan dikenakan oleh pihak berkuasa ke atas pengunjung di Pantai Bagan Lalang, di sini, yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bermula minggu hadapan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, melalui pemantauan selama dua minggu mereka telah bertolak ansur dengan memberi pendidikan kesihatan kepada pengunjung.

Abd Hamid berkata, tindakan kompaun sehingga RM2,000 bagi individu dan RM10,000 membabitkan perbadanan jika gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Penguatkuasaan ini dilaksanakan melibatkan beberapa agensi seperti MPSepang, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Pejabat Tanah dan Galian Daerah Sepang dan beberapa lagi.

Ab Hamid (dua dari kanan) meninjau pengunjung yang bercuti di Pantai Bagan Lalang, pada Sabtu.
Ab Hamid (dua dari kanan) meninjau pengunjung yang bercuti di Pantai Bagan Lalang, pada Sabtu.

"Pihak yang menyalahi SOP akan dikenakan tindakan lebih tegas selepas ini memandangkan kita telah bertolak-ansur sebelum ini," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pantai Bagan Lalang, di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abd Hamid memberitahu, jumlah keseluruhan pengunjung yang diperiksa di pantai berkenaan bagi tempoh sejak 16 sehingga 24 September ialah seramai 2,968 orang.

Katanya, sebanyak 243 premis turut diperiksa bagi tempoh sama dan 34 daripadanya dikenalpasti gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Seramai 98 pengunjung dan penjual yang dikenalpasti tidak lengkap divaksin dan diarahkan pulang serta-merta," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Hamid berkata, sejak pantai berkenaan kembali dibuka kepada orang ramai, terdapat peningkatan pembuangan sampah sehingga enam tan pada hujung minggu.