X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

74,096 orang asli divaksin

Sapiah (dua dari kanan) ketika melihat petugas kesihatan memberi suntikan vaksin kepada salah seorang penerima di Kampung Orang Asli Simpang Arang pagi Sabtu.
A
A

GELANG PATAH - Seramai 74,096 masyarakat orang asli di seluruh negara ini telah menerima suntikan vaksin sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd Nor berkata, jumlah diambil setakat 24 September itu adalah 43 peratus daripada keseluruhan orang asli yang layak mendapat suntikan vaksin.

“Melalui rekod yang ada, kita dapati terdapat sekurang-kurangnya seramai 144,180 individu dalam kalangan orang asli yang layak untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Daripada jumlah ini, kita sudah selesai 43 peratus setakat semalam (24 September). Kita percaya jumlah ini akan meningkat kerana ketika ini kita sudah jalankan pelbagai inisiatif secara serentak, boleh kata 60 peratus daripada populasi ada akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Kampung Orang Asli Kampung Simpang Arang di sini pagi Sabtu.

Sapiah berkata, pihaknya juga percaya jumlah penerima suntikan boleh meningkat dengan drastik apabila kini vaksin jenis CanSino telah digunakan yang hanya memerlukan satu dos.

“Kita sekarang sedang pelbagaikan cara untuk mendekati golongan ini yang mana sedia maklum ada yang tinggal di pedalaman. Jadi dengan vaksin CanSino ia lebih mudah kerana tidak perlu bimbang bekalan terputus atau dibawa secara berulang kali.

“Setakat ini, kita tidak alami sebarang masalah besar dan yakin boleh membantu kerajaan mencapai sasaran 95 peratus populasi selesai menerima dos,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya akan turut memberi keutamaan kepada Johor memandangkan kadar vaksinasi di negeri ini masih berada di tahap rendah.

“Johor adalah di antara negeri dengan kadar rendah, namun selari dengan pengumuman Menteri Besar (Datuk Ir Hasni Mohamad) berkenaan penerimaan 10,000 dos CanSino, langkah pemvaksinan masyarakat orang asli di negeri ini akan dijalankan.

“Kita akan ambil serius perkara ini, memandangkan di Johor sahaja kes melibatkan jangkitan terhadap orang asli sudah menjangkau sehingga 871 individu dengan 10 kematian. Daripada jumlah itu 604 daripadanya adalah orang asli di Johor Bahru,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!