X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

MyCeb gesa kerajaan buka semula industri acara perniagaan

A
A

KUALA LUMPUR - Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) hari ini menggesa kerajaan untuk membuka semula sepenuhnya industri acara perniagaan yang telah memenuhi ketetapan vaksin lengkap Covid-19 dengan seberapa segera.

Dalam kenyataannya, MyCEB menyifatkan aktiviti industri itu memberi impak langsung ekonomi yang besar terhadap negara selain menyumbang kepada pembentukan kandungan, pertukaran idea, pembangunan profesional, peluang pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan kesan legasi jangka panjang ke atas masyarakat.

Malah, sebagai bukti, ia telah menyokong sejumlah 2,600 acara bagi tempoh 2010 hingga 2020 atau menyamai impak ekonomi yang dianggarkan bernilai RM16.7 bilion.

Menurutnya, tempoh beberapa bulan lepas telah menyaksikan industri acara perniagaan tersebut bangkit sebagai ‘barisan hadapan’ apabila kira-kira 20 pusat konvensyen pelbagai guna telah dimanfaatkan sebagai pusat vaksinasi mega selain penglibatan ratusan sukarelawan acara perniagaan yang berkhidmat membantu jutaan rakyat mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

“Malangnya, sejak bermulanya pandemik ini, Malaysia telah mencatatkan masing-masing sebanyak 57 penangguhan dan 66 pembatalan acara antarabangsa.

“Di sebalik tempoh mencabar ini, MyCEB terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membida (penganjuran) antarabangsa yang mana sebanyak 164 acara perniagaan telah diperoleh bagi tempoh 2022 hingga 2030,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Khani Daud berkata, penting bagi kerajaan untuk mengambil maklum bahawa acara perniagaan boleh beroperasi secara selamat dan bertanggungjawab di bawah prosedur operasi standard yang ketat dan harus dikategorikan sebagai aktiviti perniagaan.

“Industri ini sudah bersedia untuk beroperasi semula dengan selamat menerusi penyediaan persekitaran selamat, dikawal selia dan terkawal bagi menjalankan acara perniagaan,” katanya.

Abdul Khani berkata, MyCEB juga bersedia untuk menerajui usaha sama dengan industri bagi melaksanakan pembukaan semula industri acara perniagaan yang menepati syarat vaksin lengkap dengan melaksanakan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

“Industri acara ini perlu dibuka semula tanpa sebarang kelengahan kerana lokasi dan kemudahan berkaitan di Malaysia sememangnya menawarkan persekitaran yang terkawal selain memastikan kejayaan dan keselamatan acara yang dianjurkan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!