KPDNHEP Selangor sentiasa pantau harga ayam

Muhamad Zikril Azan (kanan sekali) ketika pemeriksaan harga ayam di sebuah pasar raya selepas Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut oleh KPDNHEP Selangor di Telok Panglima Garang pada Khamis.
Muhamad Zikril Azan (kanan sekali) ketika pemeriksaan harga ayam di sebuah pasar raya selepas Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut oleh KPDNHEP Selangor di Telok Panglima Garang pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan terus melaksanakan pemeriksaan harga ayam secara harian di seluruh pasar awam, basah dan pasar raya di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sehingga semalam (Rabu), sejumlah 876 membabitkan premis pembekal dan peruncit diperiksa susulan kenaikan mendadak harga ayam.

Menurutnya, peniaga ayam di sekitar Selangor memberi kerjasama untuk membuat semakan semula serta akur menurunkan harga jualan.

"Bagaimanapun harga ayam di pasaran Selangor terkawal dan stabil," katanya selepas Program Penyerahan Anugerah Kedai Harga Patut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di Telok Panglima Garang pada Khamis.

Mengulas mengenai Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) di negeri ini katanya, sebanyak 287 Premis yang dikenal pasti di seluruh Selangor memenuhi kriteria dan layak mendapat pengiktirafan AKHP 2021.

"Sesi penyerahan AKHP 2021 sedang dan akan dilaksanakan secara berperingkat dan berkapasiti minimum dengan kawalan pematuhan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pada kali ini, Pasaraya Segi Cash & Cary Sdn Bhd di Teluk Panglima Garang dan Pasaraya Megah Supermarket Departmental Store Sdn Bhd di Banting merupakan diantara penerima AKHP 2021 bagi Daerah Kuala Langat," katanya.

Menurutnya, tujuan utama program ialah meningkatkan sumber pendapatan dan kualiti perkhidmatan sektor perdagangan pengedaran peruncitan.

Artikel Berkaitan:

"Program AKHP ini merupakan antara inisiatif kerajaan untuk mewujudkan pasaran harga yang berpatutan dan dapat mengurus isu kenaikan harga barang," katanya.

Beliau turut memberitahu, KPDNHEP Selangor menggalakkan lebih banyak penyertaan untuk menjayakan misi program AKHP daripada premis perniagaan barangan keperluan harian (tidak termasuk premis perniagaan yang mempunyai sistem francais atau sistem perniagaan dengan harga seragam) dan pengguna atau pelanggan premis yang dicalonkan untuk dipertandingkan," katanya.