X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Nelayan hilang ditemukan lemas

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut. - Foto ihsan JBPM Negeri Sembilan
A
A

PORT DICKSON – Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemukan terapung di perairan Lukut di sini pada jam 7.52 pagi Khamis.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Jelani Ahad memberitahu, mayat tersebut ditemui oleh nelayan yang turut sama membantu dalam operasi mencari dan menyelamat sejak Rabu.

Katanya, mayat Yap Fok Swe,64, ditemukan terapung di kawasan 2.5 kilometer daripada kawasan mangsa dilaporkan hilang.

"Kita telah memulakan operasi pencarian seawal jam 6.30 pagi sebelum menerima maklumat daripada nelayan yang terlihat satu objek terapung di Pantai Bagan Kurnia.

"Pemeriksaan mendapati, objek berkenaan ialah lelaki yang dilaporkan hilang sejak keluar ke laut pada Rabu.

Mayat lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 9.23 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, operasi membabitkan seramai 38 anggota dan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta komuniti nelayan setempat.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan polis mengenai kehilangan nelayan yang keluar ke laut berseorangan untuk menangkap ikan awal pagi semalam dan tidak pulang sehingga ke petang.

Rakan mangsa mendakwa menemui sebuah bot kosong di perairan Lukut sekitar jam 10 pagi dan dipercayai digunakan mangsa.

Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat di perairan Kuala Lukut pada jam 4.30 petang semalam, dan melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu bot Petir 91 dan Benteng 04.

"Operasi turut dibantu oleh agensi sahabat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta komuniti nelayan setempat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Nelayan dikhuatiri lemas


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!