Bot karam: Mayat budak ditemukan terapung, tidak sempurna

Pasukan SAR membawa mayat mangsa ke jeti untuk diserahkan kepada polis.
Pasukan SAR membawa mayat mangsa ke jeti untuk diserahkan kepada polis.
A
A
A

SEMPORNA - Kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemukan lemas di perairan Kampung Pokas di sini pada Sabtu.

Mayat Padli Ambit, 7, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan tidak sempurna dan terapung di perairan terbabit.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa pada jam 3.02 petang.

"Mayat yang ditemui disahkan sebagai mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam pada Jumaat.

"Mayat seterusnya dibawa ke Jeti Lepa-Lepa sebelum diserahkan pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Padli merupakan mangsa kedua selepas Nasirin Katibin, 7, yang lemas dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Nusa Tengah.

Dalam kejadian itu, bapa kepada kedua-dua mangsa iaitu Katibin Husni, 28, dan Ambit Gopek, 25 sempat diselamatkan.

Difahamkan, mereka berempat dalam perjalanan menuju ke Pulau Menampilik untuk membeli ikan sebelum dijual semula ke Pekan Semporna.