X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Sultan Selangor dukacita golongan agama tolak vaksin

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Facebook Selangor Royal Office
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri itu hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Rabu.

Menerusi kenyataan dalam akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 orang yang hadir, menolak untuk divaksin.

Baginda bertitah, situasi itu amat mengecewakan kerana kedegilan individu tersebut hanya menyusahkan urusan rakyat terutama murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran Kafa.

"Baginda akan meneliti nama-nama guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah yang memutuskan untuk tidak divaksin.

"Satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak, " menurut kenyataan itu pada Rabu.

Tegas baginda lagi, pelbagai inisiatif telah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam negeri itu.

"Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa," kata kenyataan itu.

Pada Rabu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seramai 872 individu terlibat telah dipanggil bagi mendapatkan suntikan vaksin di bawah program vaksinasi khas yang dianjurkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 pagi tadi, dapat dilihat jumlah kehadiran adalah seramai 146 orang dan 80 peratus daripadanya menolak untuk mengambil vaksin.

Beliau menambah, JAIS akan mempersembahkan senarai nama individu yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 kepada Sultan Sharafuddin pada Jumaat ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!