Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat tunai haji

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, pada Selasa.Turut berangkat bagi mengucapkan selamat berangkat, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri). - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji, pada Selasa.Turut berangkat bagi mengucapkan selamat berangkat, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji.

Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menaiki pesawat khas yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3 petang.

Antara yang turut serta mengiringi Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ke Tanah Suci ialah Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Maaseng Al-Makki dan Pengurus Tabung Haji (TH) Travel and Services, Syahrimi Ilias.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.

Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris membacakan doa memohon agar perjalanan Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin diberkati serta permudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin serta rombongan dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 4 Julai ini.

Pada Isnin, Sultan Selangor bertitah memohon rakyat mendoakan agar baginda dan Tengku Permaisuri Selangor diberi kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna serta mendapat haji yang mabrur.

Sultan Selangor memaklumkan telah menunaikan fardu haji pada 2002 dan bagi musim haji 1444H/2023, baginda akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama Tengku Permaisuri Selangor.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. - Bernama