17 lokaliti rumah panjang di Sarawak kena PKPD

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sejumlah 17 lokaliti di Sarawak yang melibatkan rumah panjang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai semalam hingga 3 Oktober ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan di Bahagian Sri Aman, sebanyak enam rumah panjang dikenakan PKPD iaitu Rumah Gevenor, Rumah Sigan, Rumah Ramping, Rumah Sambau, Rumah Baha Lunchong dan Rumah Tingga dari 21 hingga 30 September.

Sembilan lagi lokaliti di Bahagian Lubuk Antu, Sarikei, Pakan, Meradong dan Sebauh dikenakan PKPD dari 22 September hingga 1 Oktober, iaitu Rumah Jamban dan Rumah Buyong (Lubok Antu); Rumah Jamu (Sarikei); Rumah Ijau, Rumah Endu dan Rumah Nyakin (Pakan); Rumah Nicholas Abu Seman dan Rumah Micheal Tandang (Meradong) serta Rumah Jembat Anak Dalang (Sebauh).

PKPD di Rumah Changgi Brayang Hulu Roban dan Rumah Ganti Nyiar Roban pula bermula dari 23 September hingga 3 Oktober.

Pada Rabu, Sarawak merekodkan sejumlah 1,712 kes baharu Covid-19 dengan 1,710 adalah mereka yang tidak bergejala dan hanya bergejala ringan, manakala dua kes adalah mereka yang mengalami jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan bantuan pernafasan.

Angka kematian di negeri ini pula kini mencecah 710 orang dengan satu kematian baharu direkodkan di Hospital Sri Aman.

Kes kematian terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berusia 81 tahun yang turut mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi dan strok. - Bernama

Artikel Berkaitan: