'Akhirnya dapat bertemu ayah, namun hanya jenazahnya'

Gambar kecil: Noranisah terkilan tidak dapat bertemu bapanya yang meninggal dunia akibat lemas ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih.
Gambar kecil: Noranisah terkilan tidak dapat bertemu bapanya yang meninggal dunia akibat lemas ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih.
A
A
A

KOTA TINGGI - "Saya sentiasa menghitung hari untuk pulang bertemu ayah, tak sangka datang jumpa lebih awal namun hanya jenazah ayah," luah anak sulung kepada salah seorang mangsa lemas di Jeti Mados Kampung Air Putih di sini.

Noranisah Ramdan, 26, yang menetap di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu ayahnya, Ramdan Sulaiman, 50, pada Januari lalu selepas tidak dapat pulang ke kampung halaman akibat larangan merentas negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya berharap sangat untuk pulang ke rumah pada bulan hadapan (Oktober) dan sudah berjanji dengan ayah. Memang kerap kami buat panggilan video. Tidak sangka saya bertemunya lebih awal, tetapi dalam keadaan begini.

"Apabila dimaklumkan, saya terus bergerak dengan suami dari Melaka, saya sampai malam tadi (Selasa) ketika itu ayah masih belum jumpa," katanya ketika ditemui di Jeti Mados Kampung Air Putih di sini pada pagi Rabu.

Noranisah berkata, aktiviti memancing adalah hobi bapanya sejak dia masih kecil dan perkara itu adalah kebiasaan bagi keluarganya jika bapanya mahu keluar memancing.

Ramdan
Ramdan

"Ayah bekerja sebagai penjual insurans kenderaan, tetapi jika lapang dia akan keluar memancing. Keluarga memang tidak risau kerana ayah selalu keluar tambahan pula dia sudah biasa dengan kawasan ini kerana membesar di sini.

"Apabila emak telefon beritahu abah tidak ditemui selepas keluar memancing, saya rasa tidak sedap hati dan terus balik. Sangat sedih dan terkilan tidak dapat jumpa abah dan hanya dapat menatap jenazahnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pemancing hilang ditemui lemas

Insiden pemancing lemas tidak libatkan perlanggaran kapal: Polis

Noranisah yang juga suri rumah berkata, bot yang dinaiki bersama seorang lagi mangsa, Amiruddin Abdul Malik, 53, adalah milik bapanya sendiri.

"Abah dengan imam (Amiruddin) adalah rakan baik. Mereka pasti bersama jika pergi memancing. Tidak kira memancing berdua atau berkumpulan pasti imam Amiruddin akan ikut bersama pergi memancing.

"Tidak sangka perginya dia bersama rakan baiknya. Masa dapat tahu, bukan saya sahaja tetapi adik bongsu, Muhammad Hafiz, 17, sehingga tidak lalu makan dan tidur. Dia sampai ikut nelayan tempatan untuk mencari abah," katanya.

Amiruddin
Amiruddin

Mayat dua pemancing yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas menaiki bot dari Jeti Mados, Kampung Air Putih di sini pada malam Isnin ditemui pagi Rabu selepas dua hari hilang.

Mayat Ramdan ditemui lebih kurang lima kilometer dari lokasi bot pada jam 7.10 pagi, manakala mayat Amiruddin ditemui jam 8.04 pagi pada jarak 200 meter dari lokasi bot.