Hati tak tenteram jika jumpa kucing jalanan sakit

Yuslinda memberikan susu menggunakan botol kepada anak kucing yang dikutip di sekitar Bandaraya Kuantan.
Yuslinda memberikan susu menggunakan botol kepada anak kucing yang dikutip di sekitar Bandaraya Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Rasa simpati dengan keadaan kucing jalanan mendorong pasangan suami isteri di sini untuk menyelamatkan haiwan itu dengan menjadikan sebahagian rumahnya sebagai tempat haiwan peliharaan.

Yuslinda Ismail, 47, berkata, lebih 30 kucing yang terbiar, sakit dan masih kecil dikutip di sekitar Bandaraya Kuantan termasuk di pasar-pasar sejak 2011.

Menurutnya, perasaannya tidak tenteram jika gagal membantu menyelamatkan haiwan terbabit dan sanggup membelanjakan lebih RM700 pada setiap bulan bagi memastikan kucing terjaga.

"Bila saya dan suami (Harei Juki, 53) temui kucing yang ada masalah kesihatan, cacat dan masih lagi kecil, kami akan membawanya pulang.

"Saya tidak sanggup membiarkan kucing-kucing terus menderita. Jadi untuk menyelamatkan kucing jalanan saya memerlukan perbelanjaan besar setiap bulan, lebih RM700 diperlukan bagi menyediakan makanan, rawatan dan ubat.

"Pernah ada seekor kucing yang mendapatkan rawatan tukar jantina dengan kos rawatan RM2,600. Walaupun kosnya mahal, saya sanggup menanggungnya demi menyelamatkan haiwan terbabit," katanya yang menetap di Kampung Batu Lima di sini.

Suri rumah itu juga berkata, dia melakukan rawatan kucing sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan.

Yuslinda mengutip kucing jalanan untuk dijadikan haiwan peliharaan di rumahnya di Kampung Batu Lima.
Yuslinda mengutip kucing jalanan untuk dijadikan haiwan peliharaan di rumahnya di Kampung Batu Lima.

Yuslinda berkata, hampir setiap malam dia dan suami memberi makan kepada kucing jalanan di beberapa lokasi utama di bandar Kuantan dan Jaya Gading di sini.

"Sekiranya jumpa kucing sakit, ia akan dibawa balik untuk rawatan," katanya.

Tambah Yuslinda, dia juga ada menerima sumbangan daripada individu yang prihatin untuk menampung kos rawatan dan makanan untuk kucing.

"Saya bersyukur rezeki kucing jalanan sentiasa ada, setiap bulan ada sahaja pihak yang tampil menghulur pelbagai sumbangan," katanya yang turut menyediakan perkhidmatan penghantaran kucing ke klinik.

Ditanya mengenai perkhidmatan menjaga kucing, Yuslinda memaklumkan dia ada menyediakan perkhidmatan itu.

Katanya, pada Aidilfitri kali ini sebanyak 30 kucing dijaganya.

"Bayaran dikenakan RM15 seekor dan semakin banyak kucing dijaga harganya semakin rendah," katanya.