Melaka rangka SOP pelancongan, sedia terima pelancong 1 Oktober ini

Melaka akan mula menerima kehadiran pelancong domestik pada 1 Oktober ini.
Melaka akan mula menerima kehadiran pelancong domestik pada 1 Oktober ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan negeri bagi memastikan kelancaran persediaan menerima pelancong domestik pada 1 Oktober ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, SOP berkenaan sedang dirangka Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjelang pembukaan semula Melaka sebagai destinasi pelancongan dalam negara selepas Pulau Langkawi, Kedah dan SOP itu akan digunakan di lokasi atau produk pelancongan tertentu.

Menurut Muhammad Jailani, ini kerana pihaknya bersetuju untuk membuka beberapa lokasi pelancongan terpilih yang benar-benar selamat untuk dikunjungi supaya pandemik Covid-19 tidak menular dan lokasi itu akan berterusan dapat dibuka kepada orang ramai dalam keadaan lancar dan selamat.

Malah katanya, negeri ini juga akan melihat keadaan serta maklum balas di Pulau Langkawi yang menjadi projek printis gelembung pelancongan.

"Kita akan memuktamadkan SOP khas bagi sektor pelancongan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, dalam persiapan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Berapa lokasi akan dipilih dahulu sebelum semuanya dapat dibuka sebagai langkah berjaga-jaga kerana bimbang pandemik ini kembali seperti yang berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, setiap lokasi pelancongan yang dipilih itu semua pekerjanya telah lengkap menerima dua dos vaksin selain wajib menyediakan jadual sanitasi.

Pada Selasa, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan, Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini selepas melihat perkembangan positif Projek Rintis Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Melaka juga merancang untuk mewujudkan 'air ambulance' melalui gelembung pelancongan untuk memberi peluang pelancong luar negara mendapatkan perubatan di negeri ini.

Menurutnya, 'air ambulance' itu berkeupayaan membawa pesakit termasuk luar negara dalam usaha merancakkan sub sektor pelancongan kesihatan.

"Kita akan ke Pekan Baru, Indonesia pada 26 September ini menerusi jemputan daripada Wali Kota Pekan Baru dan akan bermesyuarat dengan mereka sebelum 'air ambulance' ini dapat direalisasikan," katanya.