Keunikan Rafflesia di Lata Jarum

RAUB - Rafflesia di Lata Jarum di sini mempunyai keunikan tersendiri apabila kebanyakannya berkembang pada bahagian tumbuhan perumah yang berada di atas permukaan tanah, berbanding keadaan di dua lokasi lain di Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, Lata Jarum merupakan antara tiga lokasi utama Rafflesia di negeri ini selain Ulu Cheka, Jerantut dan Pulau Tioman.
“Uniknya di sini, ia berbeza sedikit daripada Ulu Cheka dan Pulau Tioman kerana kebanyakannya berkembang di atas, bukan di tanah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai program Moh Jungle Trekking Sambil Menengok Rafflesia Lata Jarum pada Rabu.

Menurut Fadzli, tujuh kuntum Rafflesia dapat dikenal pasti di Lata Jarum ketika ini, namun hanya satu sedang berkembang manakala selebihnya sudah layu atau masih dalam peringkat kudup.
Beliau memaklumkan, jumlah berkenaan boleh berubah mengikut musim dan keadaan persekitaran dengan sebanyak 14 kuntum pernah direkodkan di kawasan sama pada Disember tahun lalu.
“Rafflesia merupakan bunga tunggal terbesar di dunia dan ia hanya mampu berkembang dalam tempoh singkat, sekitar dua hingga lima hari bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kalau hujan, ia akan cepat layu. Kalau cuaca panas, mungkin boleh bertahan empat hingga lima hari,” ujarnya lagi.
Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, kawasan berkenaan mempunyai nilai pemeliharaan tinggi kerana bukan sahaja menjadi habitat Rafflesia, malah turut menempatkan pelbagai flora dan fauna.
Menurutnya, bahagian akar tumbuhan perumah Rafflesia sangat sensitif terhadap gangguan dan proses perkembangan bunga berkenaan boleh terjejas sekiranya kawasan itu disentuh atau dipijak.
“Kalau sentuh atau pijak, ia tidak mahu berkembang dan mengambil masa untuk pulih,” ujarnya.
Sehubungan itu, sebuah pelantar sepanjang kira-kira 100 meter dibina di kawasan berkenaan dengan kos hampir RM1 juta bagi membolehkan pengunjung melihat Rafflesia tanpa menjejaskan habitat serta akar tumbuhan perumahnya.
Langkah berkenaan pada masa sama membantu mengawal pergerakan pengunjung supaya tidak memasuki kawasan sensitif yang boleh mengganggu proses pertumbuhan bunga tersebut.
Fadzli berkata, kewujudan Rafflesia di Lata Jarum mula dikesan sejak 2009 dan kawasan itu mempunyai potensi besar sebagai tarikan ekopelancongan berasaskan khazanah alam semula jadi.
Menurut beliau, keunikan bunga berkenaan perlu dipelihara supaya habitatnya terus terjamin dan dapat dilihat oleh generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

