Pegawai khas MB pun tidak terkecuali, titah Sultan wajib dipatuhi - Saarani

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengulangi ketegasan bahawa titah Sultan Perak berhubung larangan ahli politik berucap di masjid dan surau wajib dipatuhi.
Beliau berkata, larangan berkenaan terpakai kepada semua pihak termasuk dirinya sendiri selaku Menteri Besar dan Exco Agama, apatah lagi pegawai khas yang dilantik.
"Macam saya sebut biasa, MB pun walaupun MB itu Exco Agama, dia pun tidak berani untuk berucap dalam mana-mana masjid. Jadi apatah lagi pegawai khas.
"Pada saya, sangat mudah, titah Tuanku itu mesti dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Konvensyen Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pemuda Pas terhadap seorang Pegawai Khas Menteri Besar melanggar titah berkenaan dengan menyampaikan ucapan ketika merasmikan sebuah program di sebuah masjid di daerah Kerian.
Dalam kenyataan, Pengarah Strategi Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham menggesa individu berkenaan yang juga pemimpin parti politik, direhatkan sementara siasatan dijalankan.
Saarani berkata, pihak yang membuat dakwaan berkenaan perlu mengemukakan bukti dan tidak membuat tuduhan secara melulu.
Katanya, dalam amalan biasa, sebarang aktiviti yang hendak diadakan di masjid berada dalam pengetahuan dan mendapat kebenaran pengerusi jawatankuasa masjid terlibat.
"Perkara ini pernah berlaku dalam beberapa kes sebelum ini termasuk di Kuala Kangsar apabila pihak berkuasa agama menjalankan siasatan dan memanggil pengerusi jawatankuasa masjid terbabit.
"Ada kes di mana kalau ia betul-betul berlaku, kita dah minta pegawai khas berkenaan untuk memohon maaf," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

