Jururawat parah ditikam suami enam kali

KOTA BHARU - Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menikam isterinya sebanyak enam kali sehingga menyebabkan wanita itu parah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini pada Selasa.
Jururawat berusia 44 tahun itu dipercayai di tikam pada bahagian badan serta leher dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam sebelum polis menerima laporan berhubung kejadian pada malam sama.
Menurut beliau, suspek berusia 47 tahun itu ditahan selepas menyerah diri kepada polis.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan.
"Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ujar beliau, pihaknya turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

