Wan Ahmad Fayhsal dikejarkan ke HKL, keadaan stabil

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan kecemasan pada Rabu.
Pejabat Ahli Parlimen Machang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau kini dimasukkan ke wad hospital berkenaan untuk menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut kenyataan itu, doktor turut menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya berehat sehingga pulih sepenuhnya.
“Pejabat ini memohon agar sama-sama kita mendoakan semoga YB Wan Ahmad Fayhsal diberikan kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin, di Kuala Lumpur pada Rabu.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan punca beliau dikejarkan ke hospital atau keadaan yang menyebabkan beliau memerlukan rawatan kecemasan.
Wan Ahmad Fayhsal merupakan Ahli Parlimen Machang dan wakil Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.
Ketika ini, Dewan Rakyat sedang bersidang bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang bermula pada 5 Oktober lalu.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi yang mengaitkan keadaan kesihatan Wan Ahmad Fayhsal dengan persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

