Penduduk Sarawak tunjuk kesedaran awam tinggi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Kebanyakan kes Covid-19 yang direkodkan di Sarawak dikesan menerusi inisiatif ramai yang membuat ujian calitan (swab test) secara sukarela dan bukannya atas arahan mana-mana pihak berkuasa tertentu, kata Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol.

Beliau berkata, ia menunjukkan kesedaran awam yang tinggi dalam kalangan rakyat Sarawak, yang menyerlahkan keikhlasan mereka untuk bersama-sama membendung wabak itu.

“Kebanyakan kes positif ini adalah kerana ada orang yang secara sukarela ingin melakukan swab test kerana kebimbangan mereka sendiri menjadi individu yang ada kontak dengan orang lain yang positif, atau PUI (individu dalam siasatan).

“Ini satu tahap kesedaran yang patut diteruskan walaupun hasil sikap sukarela untuk membuat swab test ini menyebabkan data kita tinggi, namun nilai sivik, keprihatinan, ini yang perlu dihargai,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam Covid-19 di sini.

Sarawak mencatatkan jumlah kes harian tertinggi di Malaysia apabila sebanyak 3,714 kes direkodkan pada 6 September lepas dan angka harian melebihi 1,000 kes terus dicatatkan sehingga Isnin, namun hampir keseluruhan daripada kes harian kini hanya melibatkan kes-kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Kita mahu memaklumkan kepada masyarakat bahawa keadaan ketika ini tidak serius seperti yang ditunjukkan oleh data kerana situasi sebelum (program) vaksinasi adalah berbeza selepas vaksinasi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: