RM6 juta sumbangan kepada Yayasan Akalbudi bukan rasuah: Peguam

Ahmad Zahid menghadiri prosiding sambung bicara kes beliau di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid menghadiri prosiding sambung bicara kes beliau di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin dimaklumkan bahawa wang sebanyak RM6 juta yang disalurkan kepada Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan politik serta derma amal dan bukan rasuah untuk mendapatkan projek.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengapa RM6 juta itu disalurkan kepada yayasan berkenaan sekiranya ia adalah sumbangan politik.

Soalan itu dikemukakan kepada Hamidi ketika beliau berhujah mengenai dua keping cek berjumlah RM6 juta yang disalurkan kepada Yayasan Akalbudi seperti tertera dalam pertuduhan ke-14 dan ke-15 membabitkan rasuah.

Hamidi berkata, saksi pendakwaan ke-32 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad, Datuk Abu Hanifah Noordin yang menyumbangkan wang RM6 juta itu berpendapat ‘sumbangan politik’ dan ‘derma amal’ adalah sama.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-34 iaitu bekas Timbalan Pengarah Urusan Datasonic Group Berhad, Chew Ben Ben berkata, pada April 2017, beliau telah menyerahkan cek terbabit kepada Ahmad Zahid di kediaman rasmi beliau dan memaklumkan mahkamah bahawa wang itu adalah ‘sumbangan politik kepada Barisan Nasional.’

Pada prosiding pada Isnin, Hamidi berkata, kedua-dua cek dibayar kepada akaun pelanggan firma guaman Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Beliau juga berhujah bahawa Chew yang disifatkan sebagai satu-satunya saksi penting bagi pertuduhan ke-14 dan ke-15 telah memaklumkan mahkamah kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid adalah satu ‘fitnah.’

Hamidi merujuk keterangan Chew yang menafikan bahawa beliau telah memberikan rasuah atau upah kepada Ahmad Zahid bagi pihak Datasonic Technologies Sdn Bhd dalam usaha mendapatkan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Berdasarkan pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan berjumlah RM6 juta daripada Chew sebagai upah melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd untuk melaksanakan projek cip pasport bagi tempoh lima tahun atau untuk jumlah 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polikarbonat pasport antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen menerusi rundingan terus di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Pembelaan akan menyambung hujahnya pada Selasa. - Bernama