Pengedar ubat batuk, daun ketum lumpuh

112 liter ubat batuk bernilai RM9,000 dan 1.84 tan daun ketum bernilai RM64,400 dirampas PDRM.
112 liter ubat batuk bernilai RM9,000 dan 1.84 tan daun ketum bernilai RM64,400 dirampas PDRM.
A
A
A

PASIR MAS - Polis Daerah Pasir Mas melumpuhkan kegiatan pengedaran ubat batuk dan daun ketum selepas menahan lapan lelaki dalam serbuan berasingan di Kampung Chenerai, Alor Pasir, Jeram Perdah dan Kampung Binjai Manis, Ketereh, Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, serbuan pertama pada Ahad di Kampung Chenerai, menahan seorang lelaki dan merampas 112 liter ubat batuk bernilai RM9,000.

"Ketika serbuan jam 10 malam itu, pemeriksaan ke atas tubuh suspek yang juga pekerja buruh menemui kunci rumah di dalam poket seluar yang dipakai lelaki itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, suspek kemudian membuka rumah berkenaan dan pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan menemui tujuh kotak mengandungi ubat batuk di ruang tamu rumah berkenaan.

Mohd Nasaruddin berkata, soal siasat ke atas suspek mengakui barangan rampasan itu miliknya dan bahan terlarang itu diperoleh daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Heri yang tinggal di Kampung Gelang Mas di sini.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu negatif dadah tetapi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Susulan tangkapan pertama itu, polis melakukan serbuan kedua di Kampung Manis, Ketereh, Kota Bharu pada Isnin kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Polis merampas 1.84 tan daun ketum bernilai RM64,400 dan enam lagi suspek berusia 18 hingga 58 tahun ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seorang suspek berusia 29 tahun mengaku kesemua daun ketum itu miliknya dan mendapat bekalan daripada seorang lelaki dikenali dengan panggilan Mamat yang tinggal di Jertih, Terengganu.

Tambah beliau, lima lagi suspek bekerja sebagai penjaga daun ketum.