KPM diminta beri penjelasan tindakan tutup SK Chuping

SK Chuping berusia 109 tahun menjadikan sekolah tersebut yang tertua di Perlis.Gambar kecil : Natthavuth Seng
SK Chuping berusia 109 tahun menjadikan sekolah tersebut yang tertua di Perlis.Gambar kecil : Natthavuth Seng
A
A
A

PADANG BESAR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memperjelaskan rasional penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping bagi sesi persekolahan yang akan bermula pada 4 Oktober depan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Natthavuth Seng berkata, isu berkenaan telah berlarutan namun sehingga kini tiada surat rasmi daripada KPM berkaitan arahan penutupan sekolah terbabit.

Menurutnya, murid-murid sekolah berkenaan telah diarah berpindah sementara ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer tanpa dinyatakan alasan berbuat demikian.

“Pada Selasa, sekolah berkenaan diarahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis untuk memindahkan peralatan di SK Chuping ke SMK Mata Ayer.

"Sehubungan itu, AMK Perlis turun padang bertemu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chuping serta penduduk kampung bagi mendapatkan maklum balas. Kebanyakan mereka tidak setuju dengan cadangan penutupan sekolah kerana jarak ke SMK Mata Ayer sangat jauh selain bimbang isu sosial akan berlaku apabila murid sekolah rendah bercampur dengan murid sekolah menengah akibat daripada perkongsian kemudahan sekolah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Natthavuth berkata, pihak PIBG SK Chuping juga membuat punggutan suara di mana seramai 104 waris pelajar membantah penutupan sekolah berkenaan.

“Saya dimaklumkan hanya terdapat surat JPN Perlis bertarikh 6 Mei 2019, menjemput Yang DiPertua (YDP) PIBG SK Chuping untuk menyertai mesyuarat 'task force' status pengoperasian SK Chuping dan pada 8 Mei 2019 ketika mesyuarat berlangsung, dimaklumkan sekolah berkenaan perlu dikosongkan.

"Namun masih tiada sebarang penjelasan daripada KPM, JPN Perlis mahupun kerajaan negeri berhubung alasan penutupan SK Chuping,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia jelas memberi kesan kepada sektor pendidikan, murid dan waris terlibat selain penduduk berhak mengetahui situasi sebenar.

“Sinar Harian pernah melaporkan pada 15 Jun 2019, kenyataan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Izmi Ismail berkata, Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membuat pemeriksaan mendapati sekolah itu selamat diduduki dan sesi persekolahan boleh diadakan.

"Sekiranya faktor keselamatan menjadi keutamaaan, AMK Perlis ingin tahu daripada kerajaan negeri adakah rumah-rumah penduduk kampung serta masjid berhampiran sekolah juga akan dipindahkan?” katanya lagi.

Natthavuth berharap isu berkenaan diberikan perhatian segera memandangkan sesi persekolahan akan dibuka sekitar dua minggu lagi.

“Di manakah lokasi baharu SK Chuping akan dibina seperti dijanjikan atau sekolah ini hanya akan tinggal nama dan menjadi sejarah,” katanya.

SK Chuping ditubuhkan pada tahun 1912 dengan usia 109 tahun menjadikan sekolah tersebut adalah sekolah tertua di Perlis.

Difahamkan kira-kira 260 murid dari sekolah itu akan dipindahkan ke SMK Mata Ayer selepas SK Chuping didakwa sudah tidak selamat untuk diduduki atas faktor keselamatan susulan berlaku mendapan tanah, namun tiada makluman rasmi berhubung perkara itu.