Jualan rokok seludup terus bermaharajalela

Perdagangan rokok seludup di Malaysia dijangka terus meningkat berikutan kekangan kewangan dan taktik licik penjenayah. Gambar hiasan
Perdagangan rokok seludup di Malaysia dijangka terus meningkat berikutan kekangan kewangan dan taktik licik penjenayah. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdagangan rokok seludup di Malaysia dijangka terus meningkat berikutan kekangan kewangan dan taktik licik penjenayah.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, keadaan itu akan merencatkan sebarang pencapaian positif daripada langkah-langkah anti penyeludupan yang diperkenalkan pada Belanjawan 2021.

Fazli berkata demikian sempena pelancaran Laporan Negara: Perdagangan Rokok Seludup 2021 Malaysia.

Katanya, laporan tersebut berdasarkan analisis maklumat awam dan perbincangan dengan sumber rapat, mengetengahkan tahap kelicikan dan tipu muslihat sindiket untuk melepasi inisiatif anti penyeludupan seperti diumum kerajaan dalam Belanjawan 2021.

“Berdasarkan laporan berkenaan pihak berkuasa merampas sejumlah 40 juta batang rokok seludup tahun lalu dan sebanyak 84 juta batang dirampas daripada operasi anti penyeludupan di perairan negara pada suku pertama tahun ini.

“Laporan itu turut mendapati sindiket jenayah kini terpaksa menurunkan harga dan kos bagi menampung kerugian bilangan daripada penyeludupan secara kuantiti besar menerusi transhipment di pelabuhan besar sebelum ini, kepada bilangan lebih kecil tetapi dihantar lebih kerap menerusi laluan penyeludupan di pantai-pantai,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan pertukaran di dalam strategi rantaian pembekalan, pihak sindiket menanggung kos lebih tinggi untuk menggunakan rumah-rumah sewa, lot kedai komersial dan rumah persendirian menjadi gudang penyimpanan produk-produk seludup mereka.

Pertambahan kos tersebut diturunkan kepada pengguna yang kini harus membayar RM9 sekotak rokok seludup berbanding RM6 sekotak sebelum pengenalan langkah-langkah anti penyeludupan Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

“Kos lebih tinggi rokok seludup mungkin kelihatan seolah berita baik bagi usaha memerangi perdagangan haram, namun kos rokok sah masih jauh mahal.

’Semakin ramai pengguna dijangka beralih kepada rokok seludup yang masih murah berbanding produk sah disebabkan kekangan kewangan akibat pandemik Covid9.’,” katanya.

Beliau berkata, ia akan menjadi sesuatu yang tidak produktif untuk meningkatkan cukai eksais lagi kerana ia pastinya menguntungkan sindiket jenayah dan menyingkirkan terus kesan positif yang dibawa menerusi langkah-langkah di dalam Belanjawan 2021.

Katanya, moratorium cukai eksais hendaklah dikekalkan di dalam Belanjawan 2022 dan lebih banyak dana diperlukan bagi memperkasakan inisiatif-inisiatif penguatkuasaan di kawasan perairan.

"Penggunaan aset milik persendirian daripada gudang hinggalah rumah sewa, untuk menyimpan rokok seludup hendaklah juga ditangani.

Ia hanya boleh dicapai dengan mendakwa pemilik bangunan atau tanah atas kesalahan menyewa premis mereka untuk tujuan aktiviti jenayah,” katanya.

Berdasarkan laporan itu, RTBA Malaysia akan menerajui beberapa siri inisiatif untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai impak dagangan rokok haram ke atas nilai sosio-ekonomi Malaysia.

Inisiatif-inisiatif itu termasuk siri artikel pendidikan di dalam akbar, pengumuman awam di radio selain bahan bermaklumat boleh didapati di laman Facebook RTBA Malaysia di https://www.facebook.com/rtbamalaysia/.