Pemandu lori dicekup bawa rokok seludup RM1.6 juta

Zazuli (tiga dri kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas Kastam pada 23 Mei lalu pada sidang media di Pejabat Kastam negeri, Jalan Sungai Lembing, Kuantan pada Khamis.
Zazuli (tiga dri kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas Kastam pada 23 Mei lalu pada sidang media di Pejabat Kastam negeri, Jalan Sungai Lembing, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan sindiket penyeludupan rokok tidak sah yang bernilai lebih RM1.6 juta termasuk cukai dalam satu serbuan di Jalan Persekutuan Jerangau-Jabor, Terengganu, pada 23 Mei lalu.

Ketua pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, risikan dijalankan pihaknya selama seminggu membawa kepada penemuan sebuah lori di stesen minyak Felda Neram 1, Jalan Jerangau Jabor, Terengganu pada jam 1.30 petang itu.

Menurutnya, ketika serbuan, pemandu lori yang berusia 36 tahun berada di dalam kenderaan dan berhenti di lokasi kejadian untuk mengisi minyak.

"Hasil pemeriksaan mendapati muatan terbabit mengandungi 2,100,000 rokok putih yang disyaki barangan larangan import.

"Susulan itu, kita merampas lori dan rokok-rokok termasuk cukai yang membabitkan nilai keseluruhan RM1.6 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kejayaan JKDM Pahang mematahkan sindiket penyeludupan rokok di Pantai Timur di Pejabat Kastam negeri, Jalan Sungai Lembing pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan.

Zazuli berkata, pemandu lori terbabit ditahan reman selama 14 hari bermula 24 Mei sehingga 6 Jun ini dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Menjawab mengenai modus operandi kes, beliau menjelaskan sindiket menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Zazuli menggesa orang ramai supaya membantu pihak Kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Tegasnya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Kita menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Kita juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," jelasnya.