Maritim gerak aset cari dua pekerja kelong hilang di laut

Operasi mencari dua warga asing yang hilang merangkumi keluasan 19.22 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Tengah, berdekatan Klang.
Operasi mencari dua warga asing yang hilang merangkumi keluasan 19.22 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Tengah, berdekatan Klang.
A
A
A

KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan aset untuk mencari dua warga asing yang hilang selepas terjatuh ketika bekerja di atas sebuah kelong di perairan Pulau Tengah di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 30 dan 34 tahun dipercayai tidak memakai jaket keselamatan ketika terjatuh.

"Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan sekitar jam 5.10 petang Khamis dengan menugaskan bot Penggalang 10.

"Carilamat disambung pada hari kedua (Jumaat) bermula jam 7 pagi dengan menggerakkan bot Pengawal 26 dan dua unit 'jet ski' (luncur jet) Maritim dan dibantu bot Jabatan Bomba Malaysia, Pasukan Polis Marin serta komuniti nelayan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Rosli berkata, pangkalan hadapan carilamat (PHC) ditubuhkan di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Klang.

"Operasi pada hari kedua merangkumi keluasan 19.22 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Tengah. Cuaca di lokasi adalah cerah dengan kelajuan angin sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam syarikat berwarna putih dan berseluar biru sebelum terjatuh.

"Maritim Malaysia meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan menerusi pusat operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: