Sindiket pinjaman wang 'Geng Jef' tumpas

Aibee (tiga, kanan) menunjukkan simkad telefon dan barangan lain yang dirampas.
Aibee (tiga, kanan) menunjukkan simkad telefon dan barangan lain yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN- Kegiatan licik sindiket ‘Geng Jef’ yang memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian RM144,000 tumpas dengan tertangkapnya empat suspek termasuk tiga wanita minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, hasil risikan pihaknya kesemua suspek berusia antara 17 hingga 23 tahun itu berjaya ditahan pada 25 Februari lalu di sebuah hotel di Port Dickson.

“Siasatan mendapati geng ini mula aktif sejak enam bulan lalu dan terlibat 24 kes di pelbagai negeri dan satu di Senawang di sini, dengan nilai kerugian RM144,000.

“Sindiket ini menggunakan hotel terbabit sebagai pusat operasi bagi elak dikesan dan semakan juga mendapati ia telah dibayar sehingga bulan Jun ini,” katanya pada sidang media di JSJK Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, modus operandi digunakan ialah dengan iklankan pinjaman wang di Facebook dan menghantar mesej menerusi WhatsApp secara random kepada mangsa.

Beliau berkata, kebiasaannya mangsa yang terdesak akan menelefon suspek dan jika bersetuju diminta membayar sejumlah wang ke dalam nombor akaun diberi untuk urusan dokumen.

“Mangsa hanya menyedari tertipu setelah gagal memperoleh pinjaman dijanjikan, malah gagal untuk hubungi suspek.

“Kegiatan mereka memperdaya mangsa hanya dilakukan pada hari Isnin hingga Jumaat dan akan ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk berhibur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Aibee berkata, pemeriksaan di hotel yang dihuni geng ini telah menemui buku catatan maklumat mangsa, sembilan telefon bimbit dan 93 simkad telefon yang digunakan untuk hubungi mangsa.

Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman bermula 26 Februari sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan siasatan tahun lalu, sebanyak 306 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud dilaporkan dengan nilai kerugian 1.9 Juta iaitu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 195 kes dengan kerugian 1.2 juta.

“Tahun lalu, 107 pemilik akaun telah dituduh di mahkamah berbanding tahun sebelumnya iaitu 38 orang. Mereka didapati telah memberikan nombor akaun untuk digunakan bagi aktiviti ini.

“Jadi, saya nak nasihatkan orang ramai supaya tidak memberi pinjam nombor akaun atau kad bank kepada orang lain kerana jadi kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda,”katanya.