Insiden pembuangan sisa terjadual bukan pertama kali berlaku

Mazlan ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Sri Aman di sini petang Rabu.
Mazlan ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru Sri Aman di sini petang Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden pembuangan sisa terjadual di Sungai Tawakal, Kampung Baru Sri Aman di sini didakwa penduduk bukan kejadian kali pertama berlaku tetapi paling memudaratkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Penolong Ketua Kampung, Mazlan Sulor, 58 berkata, dia menetap di kampung berkenaan sejak 28 tahun lalu dan kejadian berlaku pada malam Selasa lalu adalah sesuatu yang tidak dijangka.

"Sebelum ini kita memang lihat ada perubahan pada tali air yang mengalir di kawasan kampung, ada kekotoran tetapi tidaklah sampai ikan mati. Cuma sejak lima enam bulan lepas jadi makin parah.

"Saya juga ada terima aduan daripada penduduk di sini yang maklumkan ternakan mereka sakit dipercayai meminum air dari tali air dan sungai di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Baru Sri Aman di sini pada petang Khamis.

Mazlan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana kurangnya kawalan kemasukan individu tidak dikenali ke kawasan kampung berikutan jawatankuasa penduduk tidak dapat membuat rondaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Sebelum ini orang kampung memang sedikit peka dengan kehadiran orang luar, yang mencurigakan ini kita memang perasan, cuma sebaik PKP kita tidak meronda lagi. Kesempatan ini mungkin diambil pelaku untuk menyusup masuk.

"Jadi buat masa sekarang, kita akan bantu juga buat pemerhatian. Ini tidak boleh dibiarkan lagi kerana melibatkan nyawa. Covid-19 belum habis lagi, tambah pula dengan bau seperti ini," katanya.

Tambahnya, penduduk juga akan memberikan kerjasama kepada pihak berwajib sekiranya mempunyai sebarang aduan berkaitan perkara berkenaan kerana tidak mahu perkara yang sama berulang seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana tindakan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam menangani masalah ini dapat dilaksanakan dengan pantas.

"Semalam (Rabu) sebaik sahaja bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang, kami sudah diminta untuk mengosongkan premis masing-masing. Dalam operasi semalam sebanyak 73 keluarga diminta berpindah sementara.

"Namun pada petang, kami dimaklumkan sudah boleh pulang, jadi memang bersyukur sangat tiada apa yang serius berlaku," katanya.