UMK siap sedia terima kemasukan pelajar

Universiti Malaysia Kelantan. (Gambar kecil: Dr Nik Maheran)
Universiti Malaysia Kelantan. (Gambar kecil: Dr Nik Maheran)
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) giat melaksanakan persiapan untuk menerima kemasukan pelajar sesi akademik 2021/2022 yang bakal bermula pada 15 Oktober ini.

Pembukaan semula itu selaras dengan kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad bagi kemasukan pelajar ke kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, proses kemasukan pelajar melibatkan tiga kampus yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, kemasukan penuntut UMK ke kampus dianggarkan seramai 6,078 pelajar.

“Bilangan penuntut yang akan dibenarkan masuk masih tertakluk kepada kapasiti asrama yang ditetapkan oleh pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk semua kampus.

“Bagi kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) bagi sasi akademik 2021/2022, pihak UMK bersetuju dilaksanakan secara hibrid selaras dengan Pekeliling Akademik Bilangan 5/2021 - Pemakluman Mengenai PdP Bagi Sesi Akademik 2021/2022,” katanya.

Menurut beliau, enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan ke kampus ialah pelajar praktikal daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas.

“Mereka ini juga tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian termasuk pelajar asasi atau setara dan diploma yang sedia ada di kampus.

Artikel Berkaitan:

“Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, pelajar berkeperluan khas orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), antarabangsa serta badan profesional,” katanya.

Ujar beliau, sehubungan itu, bagi penuntut UMK yang berhasrat masuk ke kampus perlu memenuhi syarat seperti lengkap dos vaksinasi Covid-19.

“Kelulusan permohonan akan ditentukan oleh pihak fakulti bergantung kepada kadar pengiraan kapasiti asrama yang mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) penjarakan dan kuarantin,” katanya.

Tambah Nik Maheran, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara dalam talian pada 2 Oktober ini, manakala pengajian dijangka bermula pada 10 Oktober ini.

Katanya, kehadiran secara fizikal ke UMK adalah tertakluk kepada pekeliling dan arahan daripada KPT, MKN serta universiti.

“UMK juga mempunyai pelan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran-Dalam Talian (PdP-DT) Fasa Empat yang dirancang iaitu pembelajaran dalam talian sepenuhnya menggunakan platform rasmi LMS eCampus untuk semua kursus yang tidak memerlukan bersemuka kecuali PdP yang melibatkan makmal, bengkel dan studio.

“Pembelajaran hibrid iaitu pembelajaran bersemuka untuk pelajar dalam kampus dan pembelajaran dalam talian untuk pelajar luar kampus akan berlaku serentak.

Ujarnya lagi, pembelajaran teradun gantian pula masih boleh dilaksanakan dengan maksimum 80 peratus dalam talian dan 20 peratus secara bersemuka.