DBKL keluar 96 kompaun terhadap pemilik premis, syarikat

Antara premis yang dikenakan tindakan penutupan menerusi Ops Patuh dilaksanakan DBKL pada 1 hingga 15 September lalu. - Foto Ihsan FB DBKL.
Antara premis yang dikenakan tindakan penutupan menerusi Ops Patuh dilaksanakan DBKL pada 1 hingga 15 September lalu. - Foto Ihsan FB DBKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 96 notis kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap pemilik premis dan syarikat menerusi penguatkuasaan Ops Patuh yang dilaksanakan pada 1 sehingga 15 September lalu.

Menerusi kemas kini di laman Facebook pada Khamis, DBKL berkata, pihaknya turut mengambil tindakan penutupan ke atas 18 buah premis bagi tempoh sama selepas didapati menjalankan aktiviti tidak bermoral dan menggunakan khidmat warga asing untuk mengendalikan perniagaan mereka.

Sepanjang tempoh itu juga, katanya, sebanyak 562 premis telah diperiksa melibatkan aktiviti perhotelan, pusat urut, perniagaan restoran dan lain-lain.

"Tujuan operasi ini adalah untuk memastikan pengendali premis perniagaan mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 988 (Akta 342) dan lain-lain akta serta peruntukan undang-undang dikuatkuasakan DBKL," katanya.

DBKL berkata, tindakan Ops Patuh itu akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditamatkan.

Menurutnya, tindakan khas itu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Warga kota boleh membantu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL secara dalam talian menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan: