MPKB-BRI diminta tarik balik kompaun terhadap peniaga wanita

Kor Ming (Laporan Sinar Harian pada Isnin)
Kor Ming (Laporan Sinar Harian pada Isnin)
A
A
A

CYBERJAYA - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meminta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) untuk menarik balik kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam di Jalan Merbau selepas didapati memakai seluar pendek.

Beliau berkata, mana-mana penguatkuasaan undang-undang harus berpaksikan kepada semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan rakyat berbilang kaum.

"Saya minta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) ambil iktibar supaya jangan terlalu ghairah atau mengeluarkan saman, sekurang-kurangnya bincang, tegur dan didik dahulu," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Aspire Residence pada Selasa.

Pada Isnin, Yang Dipertua MPKB-BRI Rosnazli Amin dilaporkan berkata, kompaun dikeluarkan terhadap peniaga wanita tersebut mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

Beliau berkata, pemegang lesen perlu memastikan dirinya dan pekerja berpakaian sopan, bersih selain kemas sepanjang menjalankan aktiviti tred, perniagaan atau perindustrian.

Katanya, seksyen itu juga menegaskan bahawa individu yang bukan beragama Islam perlu memastikan dirinya dan pekerja bukan Islam memakai pakaian sopan dan sekiranya pekerja beragama Islam hendaklah memakai pakaian menutup aurat. - Bernama