X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Vaksinasi 'walk in' warga asing di Pulau Pinang bermula Jumaat

Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Pelaksanaan imunisasi Covid-19 secara 'walk in' di negeri ini bagi golongan bukan warga negara akan bermula pada Jumaat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di SPICE Convention Centre, Dewan Milenium, SP Arena dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

"Untuk permulaan, inisiatif 'walk-in' bagi bukan warga negara ini hanya dibuat di empat PPV berkenaan.

"Mereka boleh datang terus ke PPV tersebut bermula jam 2 petang setiap hari," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, sehingga 14 September lalu, seramai 9,011 warganegara dewasa di negeri ini telah mengambil inisiatif 'walk-in' membabitkan 10 PPV yang dibuka sejak 8 September.

Malah jelasnya, mereka yang terlepas janji temu dos kedua juga dialu-alukan untuk 'walk-in' di mana-mana PPV tersenarai bagi melengkapkan dos suntikan.

"Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 14 September, populasi dewasa bagi negeri Pulau Pinang masih berbaki 116,403 individu yang masih belum memperoleh sebarang suntikan daripada jumlah keseluruhan 1,384,600 orang.

"Bagaimanapun, jumlah baki tersebut termasuk mereka yang telah mendapatkan suntikan secara berbayar (atas inisiatif sendiri) di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta berdaftar," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan remaja akan bermula di Pulau Pinang dalam tempoh terdekat.

Katanya, pihak kementerian berkaitan sedang memperhalusi proses vaksinasi yang sesuai bagi populasi berusia 18 tahun dan ke bawah.

Beliau berkata, sesi libat urus melibatkan agensi-agensi berkaitan serta JKNPP telah diadakan dengan harapan pelaksanaannya akan dipercepatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, Pusat Panggilan Covid-19 kerajaan Pulau Pinang mula beroperasi bermula Rabu.

Katanya, pusat panggilan berkenaan merupakan tambahan kepada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau CAC Call Centre; Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Pulau Pinang atau Penang Covid-19 Unified Command Centre (PUCC) dan careline Gabungan PgCare atau PgCare Alliance.

"Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan membekalkan maklumat senarai pesakit-pesakit dikuarantin, dan penyelarasan daripada Pusat Panggilan Covid-19 kerajaan negeri atau ‘Penang Covid-19 Call Centre’ terhadap keperluan mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain berkaitan

"Diharap pusat panggilan ini dapat mempertingkatkan masa tindak balas atau ‘response time’ terhadap perkhidmatan sedia ada," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!