X

Kindly register in order to view this article
!

'Tarzan' Vietnam meninggal dunia akibat kanser

Gambar fail menunjukkan Ho Van Lang (depan). - Foto YouTube/Docastaway
A
A

HANOI - Seorang lelaki yang digelar sebagai Tarzan Vietnam kerana tinggal di dalam hutan negara itu lebih 40 tahun akhirnya meninggal dunia kerana menghidap sakit kanser ketika berusia 52 tahun baru-baru ini.

'Tarzan' itu, Ho Van Lang meninggal dunia di rumahnya pada jam 6 pagi waktu tempatan pada 6 September lalu selepas beberapa bulan berjuang melawan penyakit kanser.

Pada awal tahun ini, Lang mengalami kesakitan yang teruk pada perutnya menyebabkan dia dihantar oleh saudaranya ke bandar Quang Ngai dan dia kemudian disahkan menghidap kanser hati.

Kanser itu dikatakan merebak dengan cepat menyebabkannya gagal untuk melawan penyakit tersebut.

Dia tinggal di dalam hutan selepas bapanya, Ho Van Thanh yang bekerja sebagai askar membawanya ke dalam hutan bagi mengelak serangan bom tentera Amerika Syarikat (AS) selepas kehilangan isteri dan dua anaknya dalam pengeboman yang dilakukan oleh AS semasa perang Vietnam pada awal tahun 1970an.

Mereka kemudian membina sebuah pondok di atas sebatang pokok dan hidup berasingan daripada penduduk kampung di dalam hutan dipercayai di daerah Tra Bong sebelum ditemui oleh penduduk tempatan pada tahun 2013 dan kemudian memberitahu pihak berkuasa.

Anggota-anggota pihak berkuasa mengambil masa selama lima jam sebelum berjaya menemui mereka pada Ogos 2013.

Bapanya yang boleh bercakap dalam bahasa Cor meninggal dunia pada tahun 2017 tetapi anaknya itu hanya mengetahui beberapa patah perkataan sahaja.

Lang tinggal bersama keluarga adiknya di sebuah rumah yang dibina hasil sumbangan orang ramai.

Dia mengusahakan tanaman pisang dan padi serta memburu haiwan liar untuk dijadikan makanan ketika tinggal di rumah berkenaan. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!