Rakun mabuk bantu kutip dana RM1.1 juta untuk haiwan

Keadaan kedai arak yang berselerak akibat perbuatan rakun itu yang ditemui pengsan di tandas selepas mabuk kerana minum minuman keras. Foto Agensi
Keadaan kedai arak yang berselerak akibat perbuatan rakun itu yang ditemui pengsan di tandas selepas mabuk kerana minum minuman keras. Foto Agensi
A
A
A

VIRGINIA – Seekor rakun yang pernah ditemui terbaring tidak sedarkan diri di sebuah kedai arak selepas dipercayai meminum minuman beralkohol membantu mengumpulkan dana AS$250,000 (kira-kira RM1.1 juta) untuk sebuah pusat perlindungan haiwan di Virginia.

Kisah haiwan itu kembali menjadi perhatian selepas kempen kutipan dana dikenali sebagai Trashed Panda berjaya mengumpulkan sumbangan bagi membantu Pusat Kawalan dan Perlindungan Haiwan Hanover County.

Ketua Perlindungan Haiwan Hanover County, Jeffrey Parker berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk menampung separuh kos pembelian kamera badan bagi pegawai penguat kuasa haiwan.

Sebahagian sumbangan turut diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan penginapan haiwan yang lebih baik, permainan, stor makanan kawalan suhu serta pusat bekalan makanan untuk komuniti dan haiwan peliharaan.

Parker berkata, pihaknya sudah lama mempertimbangkan pembelian kamera badan tetapi tidak dapat meneruskannya sehingga insiden rakun berkenaan mencetuskan gelombang sumbangan orang ramai.

"Rakun ini membantu mempercepatkan sedikit usaha kami," katanya.

Beliau menjelaskan kamera berkenaan penting untuk keselamatan pegawai, ketelusan operasi serta penyediaan bukti dalam kes siasatan kekejaman terhadap haiwan.

Insiden itu berlaku pada Black Friday tahun lalu apabila seorang pekerja kedai menemui rakun berkenaan terbaring dengan muka menghadap lantai selepas dipercayai melakukan 'serbuan' di premis berkenaan.

Menurut Pusat Perlindungan dan Kawalan Haiwan Hanover County, rakun itu meninggalkan kesan kekecohan termasuk 14 botol minuman keras pecah, rak barangan berselerak dan beberapa kotak terbalik.

Artikel Berkaitan:

Nilai kerosakan botol minuman keras dianggarkan AS$250 (kira-kira RM1,100).

Bagaimanapun, tiada kerosakan lain dilaporkan dan kedai berkenaan kembali beroperasi selepas kerja pembersihan selesai.

Gambar rakun yang sedang terbaring berhampiran tong sampah dan tandas turut tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi lucu pengguna internet.

Parker enggan mendedahkan lokasi rakun itu sekarang, namun berharap haiwan berkenaan menjalani kehidupan yang baik dan lebih 'insaf' selepas kejadian tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!