Pelajar kembali ke kampus UiTM secara berperingkat

SHAH ALAM - Proses kemasukan pelajar ke kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi sesi akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober depan.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke universiti itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.
Kemasukan pelajar ke seluruh sistem UiTM pula tertakluk kepada Pekeliling Universiti yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat merujuk kepada kalendar akademik universiti.
"UiTM menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai kemasukan pelajar ke kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.