Ujian rintis 5G di Cyberjaya, Putrajaya bermula April

Gobind Singh Deo diberi penerangan oleh Shogo Nakamura dari NTT berkenaan inisiatif Bandar Pintar semasa melawat pameran selepas merasmikan dan melancarkan Cyberjaya Infra Conference and Exhibition 2019 hari ini. -Foto Bernama
Gobind Singh Deo diberi penerangan oleh Shogo Nakamura dari NTT berkenaan inisiatif Bandar Pintar semasa melawat pameran selepas merasmikan dan melancarkan Cyberjaya Infra Conference and Exhibition 2019 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Cyberjaya dan Putrajaya bakal menjadi bandar raya pintar pertama di Malaysia yang menerima kemudahan teknologi 5G apabila ujian rintis rangkaian perkhidmatan itu bermula April ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Dalam tempoh itu, katanya syarikat penyedia telekomunikasi serta pemain industri berkenaan akan mengendalikan ujian teknologi 5G masing-masing dengan dibantu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Malaysia tentunya akan menjadi perhatian dunia untuk melihat bagaimana kita mewujudkan dua kawasan yang digerakkan menerusi teknologi 5G.

"Inisiatif atau ujian ini sangat penting untuk kita menentukan langkah seterusnya dalam aspek penggunaan teknologi 5G pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Cyberjaya Infra di sini hari ini.

5G atau rangkaian mudah alih generasi kelima adalah teknologi baharu yang bakal menggantikan teknologi 4G, yang mula diperkenalkan pada 2009, dengan 100 kali lebih laju daripada 4G.

Gobind berkata walaupun tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pelaksanaan ujian berkenaan namun berharap dalam tempoh enam bulan, satu petunjuk baharu dapat dihasilkan melalui percubaan itu.

Berkenaan kebimbangan infrastrutur 5G boleh membuka ruang kepada kebocoran maklumat dan pengintipan, Gobind berkata soal keselamatan merupakan keutamaan kerajaan dalam membuat semua keputusan termasuk aspek penggunaan dan pembangunan infrastruktur teknologi baharu.

Beliau berkata kerajaan tidak boleh menolak fakta bahawa dunia kini bergerak ke arah teknologi 5G yang diperakui menawarkan lebih banyak pilihan dalam perkhidmatan yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu menyediakan infrastruktur yang boleh diakses, berkualiti tinggi, kos yang munasabah namun pada masa sama kami juga mahu menyediakan infrastruktur yang selamat.

"Soal keselamatan mendapat perhatian tertinggi dalam pertimbangan kami dan inilah sebabnya MCMC sedang dalam proses untuk mengkaji infrastuktur 5G," katanya, merujuk kepada kajian yang sedang dijalankan MCMC berkenaan isu pembinaan infrastruktur 5G oleh Huawei, syarikat telekom gergasi dari China.

Kajian terperinci MCMC melalui kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu akan mengambil kira pelbagai sudut termasuk melihat penilaian negara luar bagi memastikan rangkaian 5G menjadi sebuah sistem yang selamat sebelum dapat digunakan. -Bernama