Affiliate asing sumbang 17 peratus kepada ekonomi Malaysia

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

AFFILIATE asing di Malaysia menyumbang 17.0 peratus kepada ekonomi negara dengan mencatatkan nilai tambah RM241 bilion pada tahun 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Jabatan Perangkaan berkata, sejumlah 2,979 affiliate asing beroperasi di Malaysia sementara sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai ditambah RM115.8 bilion, mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu 48 peratus pada tahun 2020.

Sektor ini mempunyai seramai 640,434 pekerja dengan pampasan pekerja berjumlah RM33.3 bilion.

Sektor perkhidmatan berada pada kedudukan kedua tertinggi bagi nilai ditambah sebanyak RM65.2 bilion atau menyumbang 27 peratus.

Selain itu, bilangan pekerja yang terlibat dalam sektor ini adalah seramai 176,710 pekerja dengan bayaran pampasan pekerja RM11.8 bilion pada 2020, tambah Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menekankan bahawa krisis kesihatan global dan ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2020 telah mengganggu aktiviti perniagaan kebanyakan syarikat di Malaysia termasuk affiliate asing yang dikawal oleh syarikat induknya di luar negara dengan pemilikan melebihi 50 peratus ekuiti.

"Ini dapat dilihat pada trend menurun dicatatkan oleh indikator terpilih yang digunakan untuk mengukur prestasi affiliate asing ini.

Melihat kepada affiliate yang dikawal oleh syarikat Malaysia di luar negara (dengan pemilikan lebih daripada 50 peratus), prestasi terus menunjukkan momentum kenaikan pada 2019 berdasarkan kepada beberapa indikator.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mencatatkan 2,237 affiliate di luar negara pada tahun 2019, peningkatan sebanyak 0.9 peratus, katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, perolehan bagi affiliate ini meningkat 1.3 peratus kepada RM335.2 bilion.

Beliau menambah, affiliate ini mempunyai seramai 412,937 pekerja berbanding 408,807 pada 2018.

Pada masa yang sama, peningkatan bilangan pekerja telah menyumbang kepada pampasan pekerja yang lebih tinggi berjumlah RM23.8 bilion berbanding RM23 bilion pada tahun sebelumnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai prestasi affiliate Malaysia di luar negara (Outward FATS), ketua perangkawan itu berkata, dari segi perolehan, sektor perkhidmatan kekal dominan bagi tempoh 10 tahun terakhir dan menjana RM209.5 bilion pada 2019, dengan sumbangan 62.5 peratus.

"Affiliate di luar negara terlibat khususnya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit dan kewangan," jelasnya.

Perolehan kedua tertinggi pula dicatatkan oleh sektor pembuatan dengan sumbangan sebanyak 24.2 peratus terutamanya dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Bagi prestasi mengikut negara, Mohd Uzir berkata, affiliate yang berada di Indonesia mencatatkan perolehan tertinggi berjumlah RM50 bilion, terutamanya dalam aktiviti kewangan.

Nilai perolehan kedua tertinggi adalah dari affiliate di Singapura dengan sejumlah RM39.2 bilion, yang sebahagian besarnya tertumpu kepada aktiviti perdagangan borong dan runcit.

United Kingdom sebagai negara penyumbang ketiga tertinggi mencatatkan perolehan sebanyak RM38.1 bilion terutamanya dalam aktiviti utiliti dan perdagangan borong dan runcit. - Bernama