MP Jelutong diarah keluar dewan, digantung dua hari

RSN Rayer
RSN Rayer
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengarahkan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dewan dan digantung daripada menghadiri persidangan selama dua hari.

Tindakan itu dibuat kerana keengganan Rayer menarik balik perkataan ‘memalukan’ ketika mempersoalkan keputusan Mohd Rashid untuk tidak memperincikan alasan mengapa usul menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditolak.

Mohd Rashid sebelum itu menjelaskan bahawa beliau telah menerima 14 usul menggantikan jawatan Azizan membabitkan 12 daripada ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) dan dua lagi daripada ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun tidak diluluskan kerana tidak menepati peraturan-peraturan mesyuarat.

Bagaimanapun perincian berhubung penolakan tersebut telah dinyatakan menerusi surat balas yang dihantar kepada setiap pengusul.

“Saya telah jawab secara bertulis kepada setiap pengusul-pengusul tersebut. Sila baca jawapan-jawapan tersebut dan keputusan saya adalah muktamad. Rayuan boleh dibuat tetapi tidak ada rayuan...keputusan saya, muktamad.

“Sekiranya lulus, maka akan masuk dalam urusan aturan-aturan mesyuarat. Saya tidak perlu maklum kepada media dan kepada sesiapa kecuali pengusul sahaja,” katanya ketika menjawab isu tersebut yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jawapan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Parlimen blok pembangkang yang menyifatkan ia perlu dimaklumkan kepada Dewan Rakyat.

“Kenapa tidak dimaklumkan kepada dewan, sekarang ada di sini, ini perkara yang cukup penting. Kita semua di sini dan rakyat semua nak dengar jawapan.

Artikel Berkaitan:

“Timbalan Speaker, jangan salah guna kuasa, rakyat sedang memerhati. Memalukan,” kata Rayer.

Susulan itu Mohd Rashid mengarahkan agar Rayer menarik balik perkataan ‘memalukan’ dan telah mengarahkan Ahli Parlimen Jelutong itu keluar dewan kerana keengganannya menarik balik perkataan tersebut.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang juga dilihat menyokong tindakan Rayer untuk tidak menarik balik perkataan tersebut dan mengecam Mohd Rashid.

“Jangan tarik balik,” kata Lim Lip Eng (PH-Kepong).

“Amat memalukan. Timbalan Speaker, letak jawatan,” kata Ivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah).

Dewan Rakyat juga bergema seketika dengan laungan ‘memalukan’ secara serentak daripada ahli-ahli Parlimen blok pembangkang sebelum sidang ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang.